Penghuni 'degil' enggan bayar caj penyelenggaraan

Iklan
Beberapa premis yang diserahkan notis tuntutan tunggakan caj penyelenggaraan oleh JMB bersama penguatkuasa COB.

KAJANG - Kami akan bayar kalau kamu pastikan kawasan kami bersih dan terurus. Itu antara reaksi peniaga di Kedai Apartmen Taman Cheras Prima (KATCP) sewaktu menerima notis tunggakan caj penyelenggaraan hari ini.

Dalam tindakan bersepadu diadakan oleh Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Badan Pengurusan Bersama (JMB) di kawasan itu, sebanyak RM150,000 tunggakan penyelenggaraan tidak dijelaskan oleh 78 pemilik kedai di kawasan itu sejak 2016.

Iklan
Iklan

Kadar tersebut melibatkan purata RM2,700 bagi setiap kedai selepas JMB dibentuk, mengambil alih tugas pengurusan daripada pemaju.

Pengerusi JMB KATCP, Yusri Kidam berkata, hanya sepuluh peratus pemilik strata lima blok terdiri 366 unit apartmen dan 78 unit kedai memberikan kerjasama membayar caj penyelenggaraan.

Iklan

Menurutnya, masalah banyak unit diduduki warga asing antara faktor kutipan tersebut tidak dijelaskan.

"90 peratus penghuni adalah warga asing disebabkan lokasinya berhampiran kilang. Kami tetapkan caj penyelenggaraan hanya RM30 untuk rumah dan RM100 bagi unit kedai.

Iklan

"Keengganan pembayaran menyebabkan kami berdepan masalah menyelenggara bangunan termasuk masalah tunggakan bil TNB ditinggalkan pemaju terdahulu sehingga RM60,000.

"Kegagalan menjelaskan tunggakan itu menyebabkan bekalan elektrik luar unit terpaksa dipotong. Kami terpaksa sambung bekalan dari unit bagi mengelak kawasan perumahan bergelap," katanya.

Sementara itu, Pengarah COB, Shahril Omar menjelaskan, pihaknya turun ke lokasi sebagai membantu JMB meningkatkan kesedaran penduduk untuk menjelaskan caj penyelenggaraan tersebut.

"Sitaan harta benda boleh dilakukan oleh JMB atau melalui tribunal selepas notis peringatan diberikan di bawah kuat kuasa peruntukan undang-undang Akta Pengurusan Strata 2013.

"Namun, kita masih dalam usaha memberikan kesedaran mengenai perkara tersebut, membantu JMB meningkatkan kutipan dari 10 peratus hingga 20 peratus dan seterusnya," katanya.

Menurutnya, tindakan bersepadu dijalankan adalah melibatkan tuntutan tunggakan caj penyelenggaraan melalui Borang 11 Akta 757.

"Operasi turut melibatkan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Pelesenan dan Penjaja,Penilaian Pengurusan Harta, JMB Cheras Prima, Jabatan Imigresen serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

"Ia selain meningkatkan kesedaran mengenai caj penyelenggaraan turut memeriksa pekerja asing dan kebersihan kawasan tersebut," katanya.

Turut hadir Ahli Majlis MPKJ, R Thiagarajah yang berharap operasi dibuat membantu mencapai sasaran kutipan sehingga 70 peratus bagi membolehkan JMB berperanan menguruskan penyelenggaraan.

"MPKJ bantu dari urusan kutipan sampah domestik, tapi sampah pukal, bil elektrik, lampu jalan, turapan jalan, kebersihan dan lain-lain diuruskan oleh JMB.

"Urusan kutipan caj penyelenggaraan adalah di bawah bidang kuasa JMB, tapi memandangkan ia tidak mendapat kerjasama penghuni maka MPKJ selaku agensi kerajaan campur tangan membantu penguatkuasaan," katanya.