JOHOR BAHRU - Seramai 3,201 individu di Johor dikompaun kerana melanggar SOP sejak 18 Mac sehingga Khamis lalu, kata Ketua Polis negeri itu, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Menurutnya, polis Johor mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melanggar arahan perintah pengawasan kuarantin di rumah yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Ayob Khan berkata, pihaknya memandang serius terhadap situasi Covid- 19 ketika ini dan pemantauan pihak berkuasa terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) masih berjalan sehingga sekarang.
"Tindakan tegas juga akan diambil Polis Johor kepada individu yang melanggar arahan kuarantin di pusat kuarantin yang diwartakan termasuk jika tidak membayar kos penginapan 14 hari.
"Setakat ini, kaedah digunakan dalam memantau individu yang dikuarantin di rumah adalah berdasarkan senarai individu kuarantin yang disimpan oleh KKM.
"Polis akan memantau individu yang diberi arahan kuarantin di rumah terbabit bagi memastikan mereka berada di rumah sehingga tempoh ditetapkan oleh pihak KKM iaitu 14 hari," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kebimbangan masyarakat terhadap pematuhan individu yang diberi arahan kuarantin rumah berikutan terdapat dakwaan adanya individu yang diperintahkan menjalani kuarantin di rumah tidak mematuhi arahan berkenaan.
Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, tindakan juga akan diambil terhadap mereka yang ingar pematuhan pemakaian pelitup muka di tempat tumpuan orang ramai.
"Peningkatan penguatkuasaan pematuhan SOP ini juga bergantung kepada arahan daripada kerajaan dari masa ke masa," katanya.