KPDNHEP KL siasat 248 kes libat barang tiruan

Iklan
Swee Hon (dua dari kanan) bersama peserta VIP yang menyertai acara menembak pada program Latihan Menembak dan Kemahiran Pengendalian Senjata Api 2020 anjuran KPDNHEP Kuala Lumpur di Lapang Sasar Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras hari ini.

KUALA LUMPUR - Sebanyak 248 kes melibatkan barang tiruan tahun ini sedang disiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur.

Pengarahnya, Ariffin Samsudin berkata, daripada jumlah itu sebanyak tujuh kes melibatkan kesalahan yang sama di bawah Akta Cap Dagangan 2019 telah selesai pendakwaan di mahkamah.

Iklan
Iklan

"Selain itu, kami telah menahan 19 individu kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan melibatkan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) dan Akta Kawalan Harga dan Anta anti Pencatutan 2011.

"Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, operasi melibatkan barang tiruan akan dilaksanakan dengan lebih agresif dan bersepadu bersama agensi lain termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Latihan Menembak dan Kemahiran Pengendalian Senjata Api 2020 di Lapang Sasar Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras hari ini.

Program berkenaan dirasmikan Timbalan Pengarah Penguatkuasaan Operasi KPDNHEP, Low Swee Hon dan dihadiri Ketua Pegawai Penguatkuasa Negeri (KPPN) KPDNHEP Kuala Lumpur, Zubir Hamsa.

Iklan

Mengulas lanjut mengenai latihan menembak yang diadakan, Ariffin berkata, latihan tahunan melibatkan 60 anggota dan pegawai itu dilakukan bertujuan meningkatkan kemahiran dan ketepatan anggota KPDNHEP ketika menggunakan senjata api.

"Senjata api boleh digunakan oleh semua anggota penguat kuasa KPDNHEP untuk melindungi diri mereka dalam operasi yang kini semakin berbahaya serta berdepan pelbagai ancaman termasuk oleh tonto.

"Latihan ini bagi memastikan pegawai-pegawai penguat kuasa di Kementerian ini cukup terlatih dalam pelbagai bidang kemahiran sekali gus membolehkan mereka menjalankan tugas dengan yakin dan berkesan," katanya.

Program berkenaan turut disertai pasukan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan media tempatan.

Latihan menembak membabitkan sasaran 'bull's eyes' dan jatuhan piring terpantas secara berpasukan bermula jam 9 pagi tadi menggunakan senjata pistol Glock-19.