MFL lantik Mycujoo antara penyiar Liga Perdana

Iklan

PENYEDIA perkhidmatan televisyen melalui Internet, Mycujoo dipilih sebagai antara penyiar rasmi perlawanan bola sepak Liga Perdana 2019.

Dalam kenyataannya hari ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berkata Mycujoo akan menyiarkan sekurang-kurangnya separuh daripada perlawanan Liga Perdana musim ini, seiring dengan permintaan tinggi peminat tempatan.

Iklan
Iklan

"Kami gembira dapat menandatangani perjanjian dengan Liga Bola Sepak Malaysia. Ini akan membolehkan kami membina hubungan lebih erat dengan peminat bola sepak Malaysia,” demikian Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Mycujoo, Pedro Presa dipetik berkata dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam berkata MFL sentiasa berusaha memenuhi keperluan peminat bola sepak Malaysia yang mahu menyaksikan pasukan pilihan mereka beraksi.

Iklan

"Kehadiran Mycujoo tepat pada masa dengan peminat teruja untuk mengikuti aksi Liga Perdana musim ini. Saya percaya kerjasama ini akan memberi peluang kepada semua peminat bola sepak Malaysia untuk menonton aksi pasukan mereka tidak kira di mana mereka berada,” katanya.

Kevin berkata MFL menyasarkan untuk membuat liputan secara langsung semua perlawanan Liga Perdana menjelang musim 2020.

Iklan

Liputan secara langsung perlawanan Liga Perdana melalui platform dalam talian bukan sahaja meluaskan jangkauan pasukan dalam kalangan peminat masing-masing tetapi juga menyediakan peluang untuk memasarkan pasukan serta menarik penaja baharu berpotensi, katanya. - Bernama