KUALA LUMPUR - Peguam yang mewakili pasangan selebriti, Shuib Sepahtu dan Siti Sarah iaitu Muhammad Fadhli M Sutris menafikan khabar angin anak guamnya itu ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Muhammad Fadhli berkata, sebarang komen mengenai kehadiran dan sebab pasangan itu hadir di pejabat SPRM tidak dapat didedahkan buat masa ini kerana ia masih dalam peringkat siasatan SPRM.
"Anak guam kami sudah memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membantu siasatan.
"Beliau juga tidak pernah ditahan reman oleh SPRM. Kehadirannya di Pejabat SPRM untuk memberi keterangan sahaja," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad juga telah selesai merakam keterangan pada hari yang sama.
"Beliau kemudian telah dibenarkan pulang setelah selesai proses tersebut, manakala kehadiran Siti Sarah (Raisuddin) hanya untuk menemani suaminya.
"Tiada sebarang tangkapan mahupun permohonan reman dibuat terhadap kedua-dua anak guam seperti yang telah dilaporkan beberapa media sebelum ini dan kesemua kenyataan yang bertentangan dan tular adalah tidak benar sama sekali," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Sarah, Shuib dipercayai dipanggil SPRM
Terdahulu, media melaporkan pasangan selebriti itu dipanggil SPRM bagi membantu siasatan dipercayai berkaitan kes pengubahan wang haram pada Rabu lalu.
Difahamkan, pasangan berkenaan masing-masing berusia 36 tahun hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Selain pasangan itu, difahamakan terdapat beberapa individu termasuk seorang usahawan terkenal turut dipanggil memberi keterangan.