LOS ANGELES - Sesi debat antara calon Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence dan Senator Demokrat, Kamala Harris akan tetap berlangsung seperti dijadualkan walaupun Presiden Donald Trump disahkan positif koronavirus (Covid-19).
Keputusan itu dibuat Suruhanjaya Debat Presiden selepas Pence dan Harris masing-masing mengesahkan keputusan ujian negatif mereka adalah negatif.
Iklan
Iklan
"Tiada rancangan untuk membatalkan sesi debat pasangan regu calon presiden di Utah pada Rabu ini," kata suruhanjaya tersebut yang mengawasi acara tersebut.
Semalam, pesaing Trump, Joe Biden kembali berkempen di Michigan yang menjadi medan pertempuran antara parti Republikan dan Demokrat selepas beliau juga disahkan bebas jangkitan tersebut.
Menurut Biden, beliau dan isterinya, Jill mendoakan Trump dan Wanita Pertama, Melania akan sembuh dengan cepat.
Ketika berucap di Grand Rapids, Michigan calon presiden mewakili Parti Demokrat itu juga menggesa rakyat Amerika supaya memakai pelitup muka untuk memperlahankan penyebaran wabak tersebut.
"Jadi patriotik. Ia bukan hanya menjadi individu yang hebat. Ia adalah tanggungjawab anda," ujarnya yang telah menjalani ujian saringan sebanyak dua kali sebelum meninggalkan kediamannya di Delaware. - Agensi