'Nak dapat RM30 pun perit, malah ada pulang tangan kosong'

Iklan
Gambar hiasan

KOTA BHARU - Persatuan Komuniti Kedai Melor (PKKM) merayu kerajaan negeri dan Majlis Daerah Ketereh (MDK) mempertimbangkan semula pelaksanaan parkir berbayar di kawasan majlis daerah itu yang dijangka bermula awal bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak PKKM Nik Saiful Adli Burhan berkata penguatkuasaan itu menimbulkan kerisauan peniaga dan penduduk sekitar MDK termasuk peniaga pasar Melor yang rata-ratanya memperoleh pendapatan tidak seberapa.

Iklan
Iklan

"Pasar Melor bukanlah kawasan yang ekonominya pesat membangun. Peniaga hanya memperoleh pendapatan RM20 hingga RM30 sahaja sehari hasil jualan kuih dan sayur-sayuran.

"Penyewa juga sentiasa keluar masuk kerana tidak mampu menanggung kos sewa. Jika terpaksa membayar parkir sehingga RM8 sehari ia menjadi bebanan yang besar buat mereka," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perhimpunan aman membantah pelaksanaan parkir berbayar yang disertai kira-kira 30 peniaga Pasar Melor di sini, hari ini.

Nik Saiful berkata lebih mengecewakan MDK hanya memaklumkan perkara itu melalui paparan Facebook rasminya bertarikh 24 Januari lepas yang menyatakan Sistem Parkir Berkupon di kawasan letak kenderaan di Ketereh, Kok Lanas, Peringat dan Melor akan dilaksanakan bermula 1 Februari depan.

Iklan

Katanya pihak berkuasa tempatan juga tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan peniaga atau persatuan bagi menentukan penguatkuasaan parkir berbayar itu.

"Perkara ini amat mengecewakan peniaga dan penduduk. Dalam keadaan rakyat dibebani pelbagai kos hidup, kita mohon kerajaan negeri meneliti semula kemampuan rakyat agar menarik balik arahan pelaksanaan parkir berbayar itu," katanya.

Sementara itu peniaga Pasar Ketereh Ab Halim Ismail, 68, berkata pelaksanaan parkir berbayar akan menambah penderitaan peniaga di negeri ini.

"Dalam keadaan sekarang hendak dapat RM30 sehari pun perit malah ada yang balik dengan tangan kosong. Pasar tidak lagi menjadi lokasi pilihan orang ramai untuk membeli barang keperluan kerana banyak kedai-kedai wujud di sepanjang jalan," katanya.- Bernama