SHAH ALAM -"Kami sekeluarga amat kecewa, lebih-lebih lagi sudah memulakan perjalanan sejak awal pagi dari Kota Bharu, Kelantan ke Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang sebelum mendapat makluman berhubung keputusan penangguhan pendaftaran bersemuka oleh KPT (Kementerian Pengajian Tinggi),” kata pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Fazzy kepada Sinar Ahad semalam.
Fazzy berkata, dia bersama kakak serta ibu bapanya bertolak seawal jam 8 pagi kelmarin dan sebaik tiba di Jeli kira-kira tiga jam kemudian, baru mendapat tahu mengenai perkara itu.
Menurutnya, dia hanya mengetahui tentang penangguhan pendaftaran itu selepas dimaklumkan oleh rakan sebelum membuat pencarian sendiri di Facebook serta Twitter.
"Walaupun kami sekeluarga bertolak sehari awal sebelum tarikh pendaftaran, berita sebegitu sudah tentu mengejutkan. Lagi pun perjalanan ke universiti bukannya dekat.
"Tapi memikirkan sudah menempah dan membayar inap desa, jadi terpaksa teruskan juga. Hendak berpatah balik juga tidak berbaloi.
"Kami menghubungi pihak universiti dari Jeli untuk mendapatkan kepastian. Pihak universiti memberi empat pilihan kepada saya dan akhirnya saya memilih untuk mendaftar di universiti secara semuka, letak barang di sana dan pulang semula ke rumah,” katanya.
Fazzy berkata, dia mengambil pilihan tersebut kerana tidak mahu menyusahkan keluarganya untuk mengambil cuti dan menghantarnya sekali lagi.
Sementara itu, bapa Fazzy yang hanya mahu dikenali sebagai Azam berkata, dia memahami tindakan diambil KPT untuk menangguhkan pendaftaran secara semuka kerana peningkatan kes Covid-19 yang meningkat sejak beberapa hari lalu, namun apa yang dikesalkan kenapa pemberitahuan itu dibuat secara mengejut.
"Sepatutnya pihak KPT dan kerajaan sudah boleh membuat perancangan awal atau sekurang-kurangnya meminta semua pelajar yang terlibat untuk berada di rumah sehingga kerajaan membuat keputusan berhubung perkara tersebut,” katanya.