'Undi tak percaya itu karut'

Iklan
Abdul Aziz
IPOH -"Karut! Mana ada undi tak percaya? Sila tanya Speaker untuk pengesahan,”

Itu reaksi Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari bagi mengulas mengenai dakwaan Exco kerajaan negeri menghubungi Adun BN bagi mengemukakan usul tidak percaya kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Abdul Aziz berkata, perkara berkenaan hanyalah sekadar alasan bagi menyelamatkan bekas menteri besar yang juga Adun Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang enggan bekerjasama dengan jawatankuasa kira-kira wang (PAC).

Malah menurutnya, PH Perak bukannya seperti Umno yang menculik Adun PH untuk menyokong Umno.

"PH patuh kepada undang-undang dan tidak melakukan perkara yang melanggar undang-undang.

"Lagipun, siapa yang ada wang untuk offer itu dan ini? Kami bukan macam Umno yang menculik Adun yang kemudiannya muncul di khalayak dan sokong Umno.

"Oleh itu, jika ada bukti, saya minta mereka melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasat,” katanya.

Abdul Aziz berkata demikian bagi mengulas kenyataan ketua pembangkang negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad sempena perhimpunan Umno Negeri di Sungai Siput Ahad lalu.

Pada perhimpunan berkenaan, Saarani mengatakan adanya cubaan daripada Exco-Exco kerajaan negeri menghubungi Adun-Adun pembangkang untuk berpakat membuat usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar.

Tambah Abdul Aziz, perkara berhubung dengan perbezaan pendapat antara Exco dan Menteri Besar sebenarnya pernah berlaku sebelum ini.

Sebagai contoh katanya, dalam isu negara Islam, ada menteri-menteri tertentu yang jelas menyanggah pendapat Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pada 2004, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi juga pernah diugut bunuh oleh menteri bukan Islam. Ini lebih teruk!

"Oleh itu, tidak masuk akal Exco nak jatuhkan Menteri Besar. Bukan senang nak cari kata putus dalam kalangan PH.

"Hakikatnya bukan kita yang curi, tapi Adun dan Ahli Parlimen yang lari keluar meninggalkan Umno. Hari ini di Johor, sebelum ini di Kedah, Sabah dan Perak. Ini yg sebenar berlaku di tengah dakwaan Saarani itu,” katanya.

Sementara itu, Exco Kerajaan Perak, Abdul Yunus Jamhari menyifatkan dakwaan berkenaan hanyalah gimik daripada pembangkang menjelang sidang Dun esok.

Katanya, ada kemungkinan juga, pembangkang ingin mengalihkan tumpuan orang ramai terhadap pelbagai skandal termasuk yang sedang terbongkar seperti 1MDB dan lain-lain.

"Secara logik apakah ada Adun PH yang waras ingin menyertai kerajaan negeri yang diterajui oleh pembangkang yang berbeza haluan dengan kerajaan Pusat?

"Kita harap pembangkang hentikanlah politik murahan dan kembali fokus kepada isu-isu rakyat dan kerajaan negeri sedia berkerjasama dengan semua pihak bagi meningkatkan taraf hidup rakyat dalam segala aspek,” katanya.