Dicekup lepas langgar pagar rumah

Iklan
Nor Omar (dua dari kanan) memeriksa motosikal yang disita setelah diubah suai tidak mengikut spesifikasi dalam operasi Bersepadu Samseng Jalanan di KM6 Jalan Lumut semalam.

LUMUT - Tindakan seorang penunggang motosikal cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya membawa padah apabila dia ditahan polis selepas terlanggar pagar rumah penduduk di Teluk Muroh di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 5 petang itu, lelaki berusia 37 tahun itu didapati enggan mematuhi arahan untuk berhenti sebelum dikejar anggota trafik dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di KM6 Jalan Lumut di sini.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125z dikesan tidak memakai topi keledar.

"Suspek kemudiannya melarikan diri dengan menunggang secara melulu dan merbahaya kepada pengguna lain sebelum ditahan.

Iklan

"Dia mengalami kecederaan ringan di tangan telah menerima rawatan. Pemeriksaan lanjut mendapati suspek tiada lesen memandu dan kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi operasi di sini.

Menurutnya, operasi yang dijalankan bersama lima pegawai dan 45 anggota termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) itu turut menyita enam motosikal.

Iklan

"Sitaan dilakukan selepas hasil pemeriksaan mendapati pemilik melakukan ubahsuai kenderaan serta nombor pendaftaran kenderaan yang tidak mengikut spesifikasi.

Nor Omar (kiri) memeriksa motosikal yang disita setelah diubah suai tidak mengikut spesifikasi dalam operasi Bersepadu Samseng Jalanan di KM6 Jalan Lumut semalam.

"Operasi berlangsung selama empat jam bermula jam 4 petang telah mengeluarkan 48 saman atas pelbagai kesalahan," katanya.

Nor Omar berkata, pemantauan turut dilakukan di empat lokasi panas di KM6 Jalan Lumut, Jalan Ipoh - Lumut, Jalan Sitiawan - Teluk Intan dan Jalan Haji Mohd Ali.

"Lokasi ini sering menjadi tumpuan kepada samseng jalanan yang berani melakukan aksi merempit terutama di hujung minggu.

"Polis akan menjalankan operasi secara berterusan bagi membendung gejala samseng jalanan serta menjadi pengajaran kepada penunggang lain," katanya.