MARAN - Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri gagal dimanfaat sepenuhnya oleh The Fighters dan terpaksa berputih mata setelah tewas 0-3 kepada skuad Penyu dalam saingan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka di sini, malam tadi.
Ketua jurulatih Felda United FC, Mohd Nidzam Jamil mengakui agak terkejut dengan keputusan perlawanan, namun terpaksa akur kerana terdapat beberapa kesilapan sehingga menyebabkan percaturan mereka tidak menjadi.
"Kita mempunyai taktikal dengan konsep tertentu tetapi dalam bola sepak kita tidak seharusnya melepaskan gol hasil sepakan percuma di awal babak permainan yang kemudiannya disusuli dua lagi gol set piece.
"Apa pun, saya rasa pemain kita sudah memberi komitmen 100 peratus. Cuma, ada personaliti dalam pasukan Terengganu yang memberi kelebihan kepada mereka seperti Lee Tuck dan Da Sylva," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.
Pada perlawanan itu, Terengganu membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi penyerang import Dominique Da Sylva diikuti Sanjar Shaakhmedov pada minit ke-37 sebelum Lee Tuck menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-65.
Sementara itu, ketua jurulatih pasukan Terengganu Nafuzi Zain berkata, disiplin dan fokus untuk meraih tiga mata menjadi pendorong kepada skuad penyu untuk berjuang habis-habisan sebelum berjaya menundukkan pasukan tuan rumah kerana tiga mata daripada perlawanan itu penting bagi memperbaiki kedudukan dalam saingan liga musim ini.
"Saya bersyukur kerana pemain sedar dengan hakikat itu dan sentiasa fokus untuk menyerang dan bertahan sepanjang 90 minit perlawanan sehingga gawang kita gagal dibolosi lawan.
"Kita beraksi juga sesuai dengan kekuatan lawan sehingga pemain muda lebih banyak diturunkan yang secara tidak langsung membantu mereka mendapatkan pengalaman untuk perlawanan seterusnya," katanya.- Bernama