KUALA LUMPUR - Seramai 180 pengunjung pusat hiburan di Jalan Metro Pudu di sini dikenakan kompaun dalam serbuan tengah malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan kira-kira jam 12.15 tengah malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur.
"Operasi ini bertindak mengeluarkan kompaun terhadap 180 orang berusia 21 hingga 38 tahun yang merupakan pengunjung pusat hiburan terbabit.
"Selain itu, sembilan lelaki telah ditahan yang mana enam daripadanya adalah pengurus, juruwang dan pelayan bar selain tiga lagi didapati memiliki lambang dan tatu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan muzik, resit serta wang tunai.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan, Akta Imigresen, Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan Haram 1966 dan Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Tegasnya, premis hiburan diberi amaran keras agar tidak menjalankan operasi ketika PKPP masih berkuat kuasa dan pihaknya akan terus melakukan pemantauan bagi memastikan pemilik premis mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Mana-mana pusat hiburan yang ingkar peraturan PKPP akan dikenakan tindakan tegas," katanya.