ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Beberapa penghuni Penjara Alor Setar, di sini, yang positif koronavirus (Covid-19) terpaksa menerima rawatan rapi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas keadaan mereka dipercayai agak serius.
Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, penghuni terlibat dibawa ke hospital selepas didapati memerlukan pemantauan lanjut oleh kakitangan perubatan.
Beliau berkata, penghuni penjara yang positif namun didapati dalam keadaan stabil menjalani proses kuarantin masing-masing dalam penjara tersebut.
"Saringan dilakukan ikut tahap kesihatan mereka, manakala yang teruk dalam 35 hingga 36 orang dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
"Difahamkan, terdapat lebih kurang 1,800 penghuni penjara itu buat masa ini tetapi tidak semua dikehendaki menjalani ujian saringan Covid-19 dan hanya penghuni yang merupakan kontak rapat disaring,"katanya.
Bagaimanapun, katanya, jumlah penghuni penjara yang perlu menjalani ujian saringan didapati meningkat setiap hari dan kita belum menerima maklumat tepat berhubung jumlah disaring dan bakal disaring.
Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, jumlah sampel saringan yang kecil dilakukan di makmal HSB, sementara jumlah sampel saringan yang besar dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Ipoh, Perak.
Dalam perkembangan sama, katanya, orang awam khususnya sekitar Kota Setar diminta tidak panik berikutan peningkatan kes Covid-19 melibatkan Kluster Tembok di Kedah.
Dr Mohd Hayati berkata, sejumlah petugas penjara dan kontak rapat menjalani ujian saringan dan proses sanitasi turut dilakukan sekitar kawasan kediaman, sekaligus dinasihatkan mereka dikenakan arahan kuarantin kekal di rumah masing-masing.