HULU BESUT- Jenazah Wan Mohd Baharul Nizam Wan Bakar, 35 yang ditemui mati bersama isterinya dalam kebakaran sebuah rumah di Taman Desa Vista, Bandar Salak Tinggi, Sepang, Selangor semalam dalam perjalanan pulang ke kampung halamannya di Felda Tenang di sini dari Hospital Sepang.
Kakak mangsa, Wan Rosina Wan Bakar, 48, berkata, jenazah sedang di bawa pulang dan dijangka tiba di sini sekitar jam 3 pagi kemudian dijangka akan dikebumikan selepas Subuh esok.
Menurutnya lagi, jenazah Wan Mohd Baharul Nizam akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Tenang selepas solat jenazah di masjid Felda berkenaan.
Dalam pada itu dia berkata, keluarga belum mengetahui secara jelas lagi tentang laporan yang dibuat oleh polis petang tadi bahawa kematian pasangan itu diklasifikasi sebagai kes bunuh.
Sementara itu ibu Wan Mohd Baharul Nizam, Siah Mohamad, 65, berkata, dia sekeluarga amat terkejut mendapat berita tragis itu apatah lagi sudah hampir dengan majlis resepsi sebelah keluarga perempuan pada Ahad ini.
Menurutnya lagi, manakala majlis menyambut menantu yang bakal berlangsung di sini akan diadakan pada Rabu depan sempena Cuti Tahun Baharu Cina.
"Kali terakhir saya berhubung dengan anak saya itu pada malam sebelum kejadian dan meminta dia membeli pinggan berwarna putih di Ikea.
"Pinggan tersebut bagi mengisi lauk-pauk untuk kenduri menyambut menantu dia dan isterinya nanti kerana warna putih dipilih kerana kebetulan tirai pelamin yang ditempah juga berwarna putih," katanya.
Siah berkata, Wan Mohd Baharul Nizam adalah merupakan anak kelima daripada tujuh beradik dan baru berkahwin dengan isterinya, Norwahidah Abdul Hamid, 28, pada hujung November lalu.
Menurutnya, pada awalnya mereka sepatutnya mula bercuti pada Sabtu lepas bagi menguruskan majlis kedua-dua belah pihak namun mereka terpaksa menangguhkannya kerana tuntutan kerja masing-masing sebagai kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya.
ARTIKEL BERKAITAN: