Kerajaan perlu lebih tegas pematuhan SOP

Iklan
Dr Hanafiah (kiri), Dr Nurul Azmawati dan Dr Zainal Ariffin

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha membendung koronavirus (Covid-19) yang semakin meningkat sejak beberapa hari lalu.

Pakar Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, masyarakat dilihat semakin alpa terhadap pematuhan SOP kerana menganggap kes Covid-19 berkurangan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara itu berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya masyarakat mula selesa apabila terdapat satu digit ketika tiada kes baharu yang berlaku selain kes sedikit melibatkan dua digit.

"Sekarang pihak berkuasa perlu lebih tegas dan mengeluarkan saman terhadap mereka yang ingkar tanpa sebarang kompromi terutama di tempat-tumpuan umum.

Iklan

"Jika tidak semua pihak akan mengambil mudah dan bersikap sambil lewa untuk mematuhi SOP kerana beranggapan tiada pihak yang akan mengambil tindakan terhadap mereka,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Dr Hanafiah turut menyarankan masyarakat mengurangkan aktiviti luar dan kekal di rumah dalam tempoh 14 hari untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Iklan

"Mereka yang merancang untuk bercuti dalam masa terdekat juga disarankan membatalkan hasrat berkenaan malah jika ada majlis keraian juga perlu memberi keutamaan terhadap SOP yang lebih ketat,” katanya.

Dalam pada itu, Pakar Mikrobiologi Klinikal Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed turut mengutarakan pendapat yang sama dan menyifatkan pematuhan terhadap SOP itu tidak hanya tertumpu kepada rakyat tetapi juga pemimpin.

Menurutnya, perkara paling penting ketika ini adalah meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat mengenai kepentingan mematuhi SOP.

"Walaupun saban hari KKM mengingatkan rakyat mengenai kekerapan membasuh tangan, penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka, namun masih ramai yang mengambil sikap sambil lewa.

"SOP tidak dipatuhi kerana masyarakat tidak benar-benar faham tentang cara penyebaran virus dan cara pencegahannya. Jadi, pendekatan lebih efektif perlu diambil kerajaan untuk mendidik masyarakat supaya lebih berpengetahuan dan berdisiplin dalam menangani isu Covid-19,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, peningkatan kes Covid-19 dapat ditangani sekiranya beberapa tindakan drastik dapat dilakukan dengan segera termasuklah penguatkuasaan terhadap SOP dalam kalangan masyarakat.

Katanya, antara tindakan yang perlu dilakukan adalah melakukan ujian saringan, kuarantin, pemantauan lebih ketat terhadap kes yang disyaki di institusi seperti sekolah, kampus, acara politik dan tempat ibadat.

"Pihak berkuasa juga perlu bersikap jujur, telus dan mengakui kekurangan atau kesalahan serta tidak menutup sebarang kesalahan daripada kumpulan tertentu.

"Kerajaan perlu menjadi contoh terbaik bagi memastikan rakyat terus kekal berada di rumah. Hukuman setimpal wajar dikenakan tanpa mengira latar belakang jika ada yang ingkar," katanya.