'Belum masanya laksanakan PKP'

Iklan
Dr Awang Bulgiba (kiri), Dr Malina Osman dan Dr Rosnah Sutan

SHAH ALAM - Pakar kesihatan berpendapat kerajaan tidak perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara memandangkan situasi penularan pandemik koronavirus (Covid-19) masih boleh dikawal.

Pakar epidemiologi daripada Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud bagaimanapun berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketakan (PKPD) mungkin perlu dilaksanakan di kawasan tertentu sekiranya berlaku peningkatan kes yang banyak dalam masa singkat.

Iklan
Iklan

"Buat masa ini, PKP seperti pada 18 Mac lalu belum lagi perlu dilaksanakan. Sekiranya kita bertindak cepat mengesan dan mengasingkan kes Covid-19, kita masih lagi boleh membendung wabak tersebut.

"Jadi masyarakat secara keseluruhannya perlu menyokong usaha kerajaan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, selain menjaga kesihatan diri dan ahli keluarga seperti mengamalkan pemakanan yang betul, bersenam dan tidur yang mencukupi bagi membantu keupayaan badan untuk melawan penyakit,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Mengulas lanjut, Awang Bulgiba turut menyarankan agar kerajaan memperbaiki penyampaian mesej kepada rakyat dan mengkaji bagaimana untuk menambah baik kepatuhan kepada SOP.

Katanya, mesej yang tidak jelas mampu mengelirukan rakyat dan kerajaan boleh menggunakan khidmat pakar tingkah laku dan pakar perhubungan dalam memperbaiki penyampaian mesej kepada rakyat.

Iklan

"Ia amat penting kerana setelah berada dalam PKP yang berbagai bentuk selama enam bulan, keletihan SOP (SOP fatigue) telah mula nampak.

"Apabila ia berlaku, orang akan mula leka dan tidak mematuhi SOP sehingga kes naik mendadak seperti yang kita lihat baru-baru ini.

"Kita juga harus menyediakan sistem pemantauan yang lebih baik supaya tindakan yang lebih pantas boleh diambil,” katanya.

Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, PKP secara menyeluruh tidak perlu dilakukan memandangkan masih banyak zon hijau dan kehidupan rakyat boleh diteruskan seperti biasa di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, kerajaan perlu memastikan penetapan polisi terhadap pematuhan SOP terus konsisten serta mengutamakan pandangan pakar dan bebas daripada tekanan-tekanan tertentu.

"Malah, pelan tindakan bagi menghadapi kemungkinan bencana alam seperti banjir dan sebagainya perlu segera dilakukan dengan mengambil kira keperluan pematuhan SOP dan pencegahan Covid-19.

"Kerajaan juga perlu merangka dan menyediakan pelan perlaksanaan pilihan raya yang lebih ketat serta mengutamakan keperluan menggunakan teknologi maya untuk berkempen dan juga pengundian pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Keluarga, Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Rosnah Sutan menyifatkan pelaksanaan PKP semula bukanlah penyelesaian mudah, sebaliknya amalan normal baharu perlu diperketatkan.

Katanya, penglibatan masyarakat setempat dalam menjaga komuniti mereka patut digerakkan dan dibantu.

"Kerjasama daripada pelbagai pihak (universiti, jawatankuasa sosial masyarakat setempat, NGO dan agensi) perlu diselaraskan di peringkat komuniti lagi.

"Murni dan mudahkan kerjasama pelbagai pihak tanpa melibatkan banyak urusan birokrasi yang perlu diikuti dan melemahkan kerjasama pintar di peringkat komuniti dalam meningkatkan amalan normal baharu,” katanya.