Lambakan siswazah pendidikan: Apa penyelesaiannya?

Iklan
Negara sedang menghadapi masalah lambakan graduan dan siswazah pendidikan yang masih belum mendapat panggilan temuduga SPP. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR -"Benar, hampir setahun setengah juga saya menunggu untuk terima panggilan temu duga jawatan guru tetap DG41. Sekitar September tahun ini barulah saya dipanggil untuk temu duga".

Itu perkongsian kenalan penulis, Izzudin (bukan nama sebenar) apabila ditanya apakah benar wujud isu guru Interim yang lewat menerima panggilan temu duga setelah mereka tamat menjalani Program Diploma Perguruan Malaysia-Kursus Dalam Cuti (PDPM-KDC).

Iklan
Iklan

Guru Interim KDC merupakan siswazah dari mana-mana Program Ijazah Sarjana Muda di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang berkhidmat di mana-mana sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) dalam tempoh tiga tahun.

Di samping itu, mereka perlu turut menjalani KDC bagi tempoh 18 bulan yang melayakkan mereka dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP).

Iklan

Izzudin, 27, adalah juga salah seorang tenaga pengajar kontrak bagi subjek Pendidikan Islam di sebuah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di Kedah sejak 2017. Beliau mendapat panggilan temu duga daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) setelah lebih setahun tamat program KDC.

Berulang saban tahun

Iklan

Sebenarnya apabila penulis melakukan kajian mendalam mengenai isu penempatan guru Interim KDC, ianya boleh dianggap isu 'lapuk' yang sentiasa berulang dan dilaporkan media hampir setiap tahun.

Malahan terdapat satu laporan berita sebuah portal berita berbahasa Cina pada pertengahan September lepas, iaitu berkaitan sekumpulan guru berkelayakan lulusan program KDC sejak Ogos 2019 yang menggesa KPM mempertimbangkan untuk mengambil mereka sebagai guru sepenuh masa bagi mengatasi kekurangan tenaga pengajar di seluruh negara.

Menurut kumpulan itu, terdapat sekitar 60 hingga 70 pendidik yang berkelayakan di bawah program ini yang kini sedang berkhidmat sebagai guru sementara di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), sementara 100 orang lagi di SK seluruh negara.

Mengulas isu itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon yang dilaporkan berkata, beliau akan segera menghubungi Kementerian Sumber Manusia dan SPP untuk berbincang lebih lanjut penjadualan temu duga yang dirancang untuk guru-guru ini.

Mengakui isu ini adalah masalah yang sering menghantui golongan guru Interim KDC khususnya, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berpandangan sewajarnya mereka perlu terus bersabar dalam menunggu giliran untuk dipanggil temu duga oleh pihak SPP bagi jawatan gred DG41 atau DG29.

"Ini kerana, perlu untuk kita faham masalah dihadapi guru Interim KDC ini hanyalah salah satu cabang dari sebuah isu lebih besar, iaitu isu lambakan siswazah pendidikan daripada Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) dari Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), ISMP dari IPTA seluruh negara dan Program Pelajar Cemerlang (PPC), namun ramai di kalangan mereka ini masih menanti penempatan sebagai guru tetap.

"Diharapkan, KPM dan SPP dapat segera menangani isu ini kerana ada di kalangan mereka yang sudah lama menunggu panggilan temuduga melebihi dua tahun ke atas terutamanya siswazah lepasan universiti awam," jelas beliau ketika ditemui di Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Terdapat satu data menarik setakat 2018 dikeluarkan Gerakan Graduan Pendidikan Universiti Awam melalui laporan mereka ‘Analisis Data Graduan Pendidikan Universiti Awam’, iaitu daripada keseluruhan 3,802 responden, seramai 1,738 graduan universiti masih tidak dipanggil temuduga SPP kerana mereka baru sahaja menamatkan pengajian.

Jadi memang ada benarnya negara kita sedang menghadapi masalah lambakan graduan dan siswazah pendidikan yang masih belum mendapat panggilan temuduga SPP, di samping penawaran guru tetap dan penempatan di sekolah-sekolah yang dilihat agak terhad bagi menampung lambakan ini.

Banyak kekosongan jawatan

Mohd Azizee turut menghurai data mengenai status kekosongan sebanyak 5,628 jawatan guru tetap di SK dan 1,125 jawatan di SJKC seluruh negara seperti yang didedahkan bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching pada 13 Feb 2020. Daripada jumlah itu, hanya 2,482 guru Interim mendapat tempat di SK dan 480 orang lagi di SJKC.

"Jika dilihat data yang lebih besar pula berkaitan tawaran jawatan DG41 dan DG29 di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak seperti yang dilaporkan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) melalui buletin mereka serta hasil carian di laman web SPP setakat 2018, jumlah pemohon ialah 28,401 orang, yang dipanggil temuduga ialah 5,549 orang, dan yang berjaya mendapat tawaran penempatan hanyalah 3,115 orang.

"Jadi dapatlah kita bayangkan betapa ramai lagi siswazah pendidikan yang masih menunggu masa untuk terima tawaran temuduga SPP dan diserap masuk sebagai PPP bagi gred DG41 dan DG29," jelas beliau.

Sementara itu, menurut laman web SPP, syarat kelayakan untuk lantikan ke Gred DG29 ialah calon mestilah mempunyai sekurang-kurangnya diploma dalam bidang perguruan yang diiktiraf kerajaan daripada IPG tempatan atau kelayakan yang setaraf dengannya.

Untuk Gred DG41 pula, calon perlu merupakan pemegang ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan yang diiktiraf kerajaan dari IPTA tempatan serta Diploma Pendidikan, atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya.

Perlu diakui, sebagai guru Interim yang berkhidmat di sesebuah sekolah, pastinya mereka mengidamkan untuk menjadi seorang PPP yang bakal mendapat segala manfaat pencen, kenaikan pangkat serta lain-lain kelebihan sebagai penjawat tetap perkhidmatan awam.

Bagaimanapun, Mohd Azizee tetap menasihatkan agar mereka dapat bersabar dan terus mengajar di sekolah yang ditetapkan, sementara KPM dan SPP memastikan tiada yang ketinggalan untuk diserap ke jawatan tetap setelah selesai temuduga dan lantikan tetap.

Kecilkan nisbah guru vs murid

Mohd Azizee turut menyarankan agar KPM dapat meneliti dan berbincang dengan pihak universiti untuk memansuhkan atau menggantikan beberapa Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang semakin kurang relevan dengan landskap pendidikan semasa serta tidak memerlukan bilangan guru yang ramai, sebagai contoh subjek Geografi.

Beliau turut melontarkan saranan supaya IPTA dapat memberi penekanan serius dalam menghasilkan lebih ramai graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan menjurus pada kurikulum Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

"Dalam usaha memperkasa sektor pendidikan menuju Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), perlu juga untuk KPM menilai kembali pengunjuran nisbah pengambilan dan penempatan guru di sekolah-sekolah bersesuaian dengan jumlah murid dan memenuhi bidang keperluan tenaga mahir negara pada masa depan".

"Jika mengikut cadangan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), sepatutnya negara kita mengamalkan nisbah 1 guru untuk 15 orang murid, namun realiti yang berlaku sekarang ialah 1 guru untuk 35 ke 40 murid.

"Jadi kami mencadangkan supaya satu pengunjuran baharu nisbah ini perlu dibuat, dengan cadangan nisbah 1 guru untuk 20 ke 25 murid bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan membuatkan guru lebih fokus untuk mengajar dengan jumlah murid yang lebih sedikit dan relevan," jelasnya. - Bernama