'Muslimat Pas juga berhak jaga Sabah'

Iklan
Norsah Bongsu

SHAH ALAM - Dewan Muslimat Pas Sabah menegaskan mereka juga berhak dan bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian, pembangunan dan masa depan Negeri Di Bawah Bayu itu.

Sehubungan itu, Ketuanya, Norsah Bongsu menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayan, Jannie Lasimbang dan pimpinan parti pembangkang untuk bersikap lebih terbuka dan menghormati demokrasi.

Iklan
Iklan

"Pas Sabah adalah milik orang Sabah. Kami juga berhak dan bertanggungjawab untuk keharmonian, pembangunan dan masa depan Sabah," kata Norsah dalam satu kenyataan hari ini.

Norsah mengkritik kenyataan Jannie baru-baru ini yang menyatakan bahawa dengan melantik wakil Pas menyertai Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah akan memudaratkan keharmonian.

Iklan

"Janganlah lagi meracuni rakyat Sabah dengan sikap curiga dan saling membenci. Sentimen anti-Semenanjung itu adalah akibat daripada kealpaan pemimpin terdahulu. Bukan untuk dinyalakan demi kepentingan politik masing-masing.

"Tapi perlu diperbetulkan kerana Sabah tetap sebahagian dari Malaysia dan rakyat Sabah mahukan negeri itu kekal bersama Malaysia dengan wajah yang lebih hebat, maju dan terpelihara haknya," katanya.

Iklan

Katanya lagi, sudah-sudahlah bermain politik sebaliknya bersama fokus memerangi pandemik koronavirus (Covid-19) yang sedang menyelinap dalam komuniti di negeri berkenaan.

"Rakyat sedang bergelut dengan Covid-19 dan masalah kehilangan sumber pendapatan. Inilah masanya wakil-wakil rakyat baharu dilantik turun menyantuni pengundi, memberi kata semangat kepada rakyat dan memberikan bantuan yang sepatutnya," katanya.

Namun, Dewan Muslimat Pas Sabah sependirian dengan Jannie yang menyokong saranan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berhubung perlunya wanita dalam Kabinet negeri Sabah.

"Biarlah jumlahnya cukup signifikan. Tidak kira dipilih dalam kalangan pimpinan parti pemerintah atau tokoh wanita Sabah, yang penting ia mampu mengangkat suara wanita dalam DUN Sabah," ujarnya.