Penyokong mahu nama Perak FC

Iklan
Timbalan Presiden TBG Mobs, Noor Azli Salleh (kiri) menyerahkan memorandum berhubung nama Perak FC kepada Timbalan Presiden PAFA, Datuk Adly Shah Ahmad Tah di pejabat PAFA, Ipoh hari ini.

IPOH - Penyokong Perak memohon pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) menggunakan nama Perak FC berbanding Bos Gaurus FC apabila penswastaan sepenuhnya Liga Malaysia dibuat nanti.

Presiden Gabungan Penyokong Bola Sepak Perak (TBG Mobs), Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, pihaknya melihat nama Perak FC begitu sinonim dengan pasukan yang mencipta pelbagai sejarah dan memenangi banyak piala.

Iklan
Iklan

Menurutnya, oleh itu penyokong pasukan seladang itu mengharapkan nama Perak dapat dikekalkan sebagai identiti pasukan berbanding dengan nama-nama lain.

"Kami yakin bahawa Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga mahu nama Perak dikekalkan dan kita berharap pihak pengurusan bersungguh-sungguh memastikan nama Perak FC dipilih apabila Perak FA diswastakan nanti.

Iklan

"Justeru, kami juga menghantar memorandum kepada PAFA agar nama Perak FC digunakan sebagai nama rasmi pasukan untuk musim akan datang," katanya kepada pemberita ketika ditemui menghantar memorandum ke Pejabat PAFA, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Syamsul Baharin Putra berkata, satu pertemuan akan diadakan di antara ketua kelab-kelab penyokong bersama pihak pengurusan PAFA mengenai perkara tersebut.

Iklan

Katanya, kebanyakan penyokong masih tertanya-tanya nama sebenar Perak FA selepas ia diswastakan memandangkan tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh PAFA berhubung perkara itu sedangkan beberapa negeri sudah mengumumkan nama pasukan masing-masing.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan Perak antara pasukan yang sudah melengkapkan proses penswastaan pasukan bagi mengharungi liga musim depan.

Bagaimanapun, nama sebenar yang akan digunakan pasukan Perak masih belum didedahkan secara rasmi namun beberapa sumber dan berdasarkan maklumat media, Perak akan menggunakan nama Bos Gaurus FC.

Penggunaan nama Bos Gaurus bukanlah asing kerana ia diperkenalkan sejak 2014 lalu menggantikan gelaran seladang yang begitu popular dalam kalangan penyokong.