PASIR PUTEH - Usaha menangani masalah alam sekitar tidak harus menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata tetapi ia perlu didokong bersama oleh semua anggota masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad berkata, pengurusan dan pemuliharaan alam sekitar di Malaysia amnya dan di Kelantan khususnya dilaksanakan dalam konteks pembangunan lestari melibatkan pembangunan ekonomi, sosial dan perlindungan alam sekitar.
Menurutnya, pembangunan lestari tidak dapat dicapai sekiranya salah satunya tidak bergerak bersama dalam merealisasikan hasrat berkenaan.
"Pemuliharaan alam sekitar merupakan usaha yang perlu dilaksanakan secara berterusan dan memerlukan sokongan bersama semua pihak.
"Kegagalan kita untuk menjaga dan memulihara bumi ini pada masa lalu dan masa kini telah mengakibatkan berlaku pelbagai fenomena yang telah mula kita rasai sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.
Beliau hadir menyempurnakan penutup program Kelestarian Alam Sekitar: Smart-Partnership Pejabat Setiausaha Kelantan Bersama Puspanita negeri, Agensi Kerajaan, Badan Berkanun dan Badan Swasta di Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh.
Hadir sama, Pengerusi Puspanita Kelantan, Datin Dr Wan Nazariah W Hassan dan Ketua Jajahan Pasir Puteh, Ab Pattah Hasbullah.
Nazran berkata, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sejumlah peruntukan yang besar dalam bajet negeri 2020 bagi menjayakan kempen Kelantanku Bersih untuk mendidik penduduk di Kelantan sedar akan kepentingan memulihara alam sekitar dengan cara mengamalkan kebersihan dalam kehidupan seharian.
Katanya, program kelestarian alam sekitar yang diadakan adalah salah satu usaha untuk menyokong kempen Kelantanku Bersih dan salah satu cara bagi badan-badan swasta melaksanakan tanggungjawab korporat kepada masyarakat atau komuniti setempat.
"Saya ingin memberikan kredit kepada Puspanita cawangan negeri Kelantan yang menginspirasikan untuk mengadakan program kelestarian alam sekitar dalam usaha mendidik rakyat sebagaimana usaha digerakkan kerajaan Kelantan," katanya.
Nazran turut mengajak semua pihak tidak kira agensi kerajaan, swasta, NGO, institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta, kolej, sekolah-sekolah dan lain-lain untuk menjayakan program kesedaran di masa akan datang bagi meningkatkan tahap kesedaran alam sekitar dalam kalangan masyarakat kita.