TAWAU - Harga tiket penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sabah membabitkan laluan ke Kota Kinabalu, Sandakan serta Tawau kekal sama pada ketika ini.
Pengusaha Syarikat Perkhidmatan Perjalanan Merdeka Sdn Bhd, Hindun Abu Bakar Titingan berkata, tiada perubahan harga penerbangan meskipun kerajaan sedang melaksanakan Kawalan Rentas Daerah di Sabah serta Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.
"Biasanya, kalau flight (penerbangan) itu hampir penuh dan tempah pada akhir waktu, baru harga tiket akan meningkat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu katanya, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sabah berpotensi untuk dibatalkan berikutan kemungkinan kurang penumpang pada ketika ini.
"Misalnya hari ini dan semalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau dibatalkan, esok baru ada penerbangan.
"Ketika ini juga, penerbangan ke Sabah kurang, misalnya hanya ada satu penerbangan pergi dan balik ke Tawau," katanya.
Dalam pada itu, Hindun memohon orang ramai mendapatkan kebenaran pihak polis sebelum membeli tiket penerbangan dalam tempoh pelaksanaan Kawalan Rentas Daerah serta PKPDB.
"Kena ada kelulusan polis untuk yang mahu rentas daerah atau keluar negeri," katanya dan menambah industri penerbangan ketika ini terjejas dan penjualan tiket merudum kerana orang masih berhati-hati untuk keluar melancong.
Sementara itu, Hindun berkata, mahasiswa yang mahu menukar tarikh penerbangan boleh segera berbuat demikian tanpa bayaran denda.
Menurutnya, perkara itu susulan penangguhan pendaftaran di institut pengajian tinggi dan Jabatan Pendidikan Tinggi dengan kerjasama syarikat penerbangan memberi kelonggaran kepada para pelajar yang terjejas untuk menukar tarikh penerbangan mereka secara fleksibel.
Kawalan Rentas Daerah di Sabah dilaksanakan mulai 3 Oktober sehingga 16 Oktober ini manakala PKPDB berjalan pada 29 September hingga 12 Oktober ini.
Sepanjang tempoh itu individu dari Labuan, Sarawak dan Semenanjung Malaysia perlu mengemukakan permohonan pas kebenaran khas kepada kerajaan Sabah sekiranya ingin memasuki negeri itu sepanjang Kawalan Rentas Daerah dan boleh dibuat di laman sesawang https://hednp.sabah.gov.my. - Bernama