KUALA LUMPUR - Gerakan Media Merdeka (Geramm) menerusi kenyataan di Facebook memohon kerjasama semua pihak terutama pemimpin negara yang menjemput media membuat liputan sesebuah acara supaya mengambil maklum tentang status kesihatan masing-masing.
"Sekiranya terdapat keraguan, penjelasan segera perlu diberikan supaya langkah pencegahan dapat diambil pengamal media bertugas yang berisiko sebagai kontak rapat individu tersebut.
"Tidak dapat dinafikan kesibukan pemimpin-pemimpin negara akhir-akhir ini secara tidak langsung meningkatkan risiko jangkitan terutama jika terdapat rekod perjalanan ke daerah yang mencatatkan jumlah kes positif tinggi.
"Pemakluman status kesihatan mereka di media sosial membantu wartawan dan orang awam yang pernah berinteraksi dengan mereka," menurut Geramm.
Sementara itu, pengamal media diseru mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan ketika bertugas bagi mengawal serta mengelak penularan jangkitan Covid-19.
Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM), Farah Marshita Abdul Patah berkata, perkara itu penting kerana terdapat pengamal media yang positif Covid-19 selepas membuat liputan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, baru-baru ini.
"Mana-mana petugas media yang baru pulang dari kawasan berisiko atau mempunyai gejala Covid-19 dinasihatkan untuk segera melakukan ujian saringan di hospital dan mematuhi arahan kuarantin wajib.
"Ingat bahawa kita semua petugas barisan hadapan dan setiap daripada kita mempunyai peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai dan menjaga negara," menurutnya dalam kenyataan hari ini. - Bernama