LIPIS - Tanggal 26 Januari merupakan tarikh bersejarah buat masyarakat di sini sehingga ada yang menitiskan air mata.
Itu antara situasi yang dihadapi bagi sesetengah ahli Pas yang turun mengundi bagi PRK Cameron Highlands, kelmarin.
Ia diceritakan kembali bekas calon Pas,Wan Mahadir Wan Mahmud, 47, yang bertanding di Parlimen itu pada PRU14 lalu.
"Pagi semalam (kelmarin) masa nak keluar dari rumah, ramai yang menangis. Macam mana aku (merdeka) dah 60 tahun tak pernah pangkah Umno akhirnya hari semalam mengundi dacing.
ARTIKEL BERKAITAN: Faktor calon, strategi faktor kemenangan BN
"Jadi memang sedih tapi disebabkan iman, wala' pada pucuk pimpinan kami akur. Laksanakan dan terjemahkan melalui kertas undi. Syukur semuanya berjalan baik dan lancar.
"Memang tak dapat nak terjemahkan macam mana perasaan sedih itu tapi ia satu situasi luar biasa dan akhirnya ia telah berlaku," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Ujarnya, ibunya sendiri yang juga ahli Pas turut menangis namun berlapang dada dan terbuka untuk melakukan perubahan tersebut.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Badan Perhubungan Pas Pahang turut menghargai sokongan yang diberikan oleh ahli hingga membantu kejayaan calon BN, Ramli Mohd Nor meraih kejayaan dalam PRK terbabit.
Wan Mahadir yang dikenali dengan gelaran 'cikgu bulan' memberitahu, pada peringkat awal, penerimaan ahli Pas terhadap kerjasama parti itu dan Umno sangat 'keras'.
"Namun apabila blok itu dapat dipecahkan, ia dapat diterjemahkan dengan kerjasama baik kedua-dua jentera parti ini," jelasnya.
Tambah Wan Mahadir, sasaran mereka hampir 90 peratus penduduk keluar mengundi pada PRK itu tercapai.
Bekas guru dan juga AJK Pas Kawasan Cameron Highlands itu turut mengharapkan pucuk pimpinan bersama majlis tertinggi dapat duduk semeja sebagai titik permulaan mengukuhkan kerjasama parti demi Islam, Melayu dan tanah air.
"Jadi saya sangat bersyukur dengan keputusan ini selepas banyak suka duka dihadapi dan ini satu permulaan yang baik,"ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kemenangan itu juga menjadi hadiah buat Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.