GEORGETOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang menangguhkan projek perintis pembangunan semula kawasan bandar untuk membina semula perumahan kos rendah berusia 50 tahun di negeri ini berikutan pandemik Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata fasa pertama projek perintis itu, yang melibatkan penggantian 300 unit Rumah Pangsa Mahsuri di Bayan Baru kepada pangsapuri baharu, pada awalnya dijadual bermula akhir tahun ini.
"Bagaimanapun, ekoran Covid-19, rancangan untuk memulakan projek pembangunan semula itu telah terhenti," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Katanya, Pulau Pinang sepatutnya mengetuai inisiatif pertumbuhan semula bandar kerana tidak ada undang-undang yang dilaksanakan untuk skim seperti itu dan Akta Hak Milik Strata tidak memperuntukkan pembangunan semula seumpamanya.
"Buat masa ini, kami hanya dapat membetulkan masalah struktur untuk skim perumahan yang berusia secara ad hoc kerana kita belum dapat memulakan projek pembangunan semula bandar," katanya.
Beliau berkata, projek perintis itu juga melibatkan empat unit perumahan lain, iaitu di Taman Free School, Rifle Range, Jalan Siakap dan Jalan Mak Mandin.
Sementara itu, Jagdeep juga berkata, perunding bebas telah dilantik untuk meninjau dan menilai keretakan besar di salah satu rumah pangsa di Taman Free School.
"Kami menjangkakan perunding akan memberi maklum balas kepada kami dalam tempoh dua minggu dengan laporan penuh dan kami akan terus memantau keadaannya," katanya. - Bernama