Jayakan kempen Tabung Pahlawan

Iklan
Sumbangan boleh disalurkan melalui aplikasi e-wallet Boost yang turut mengambil bahagian menjayakan kempen Tabung Pahlawan.

PADA tahun ini kempen Tabung Pahlawan menyasarkan kutipan lebih RM10 juta bagi membantu veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memerlukan termasuk ahli keluarga mereka.

Selain sumbangan korporat dan penganjuran acara, kutipan secara langsung Tabung Pahlawan turut dilaksanakan persatuan dan kelab veteran tentera bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk mendekati serta mendengar sendiri kisah pengalaman mereka berjuang mempertahankan negara.

Iklan
Iklan

Kunjungan veteran ini ke tempat-tempat awam juga bersifat serampang dua mata termasuk menyemarakkan semangat cintakan tanah air terutama kepada generasi muda.

Sumbangan kepada Tabung Pahlawan adalah sebagai penghargaan masyarakat mengenang jasa pahlawan serta turut sama menyumbang bagi membantu pejuang yang tercedera dan para balu. Kempen ini sebenarnya dijalankan sejak tahun 1950-an lagi.

Iklan

Terbaharu, ia juga boleh disalurkan melalui aplikasi e-wallet Boost yang turut mengambil bahagian menjayakan kempen Tabung Pahlawan, namun ada dalam kalangan masyarakat yang memberi gambaran sinis terhadap kempen Tabung Pahlawan.

Anggapan mereka kerajaan tidak menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada veteran sehingga memerlukan satu kutipan khusus dikutip saban tahun.

Iklan

Persepsi negatif itu dikuatkan lagi dengan paparan tentang nasib bekas-bekas tentera yang merayu bantuan orang ramai atau mendakwa diabaikan yang dipaparkan pihak media.

Terdapat juga beberapa laman media sosial yang sering memuat naik paparan sebegini.

Ada segelintir dalam kalangan bekas tentera yang turut mempersoalkan isu-isu berkaitan kebajikan mereka sehingga memberi gambaran seolah-olah nasib golongan itu dipinggirkan kerajaan.

Bagi yang tidak tahu, Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM ditubuhkan pada Oktober 2000 sebagai agensi di bawah Kementerian Pertahanan yang bertanggungjawab membantu veteran tentera.

Antara fungsi lain adalah menggubal dasar bagi melindungi kepentingan, memupuk serta mengekalkan kesedaran orang awam terhadap sumbangan dan pengorbanan veteran ini.

JHEV ATM dan Persatuan Veteran ATM (dahulunya Persatuan Bekas Tentera Malaysia) yang ditubuhkan sejak tahun 1922 bersama-sama memainkan peranan ini menerusi cawangan masing-masing di setiap negeri dan daerah.

Secara ringkasnya terdapat sembilan skim bantuan layak diterima veteran ATM tidak termasuk faedah perubatan dan rawatan serta kematian disediakan kerajaan.

Veteran ATM terbahagi kepada dua kumpulan iaitu berpencen dan tidak berpencen. Kumpulan tidak berpencen ialah mereka yang memilih berhenti secara sukarela. Jumlah kumpulan ini adalah kira-kira 179,198 orang.

Walaupun tidak mempunyai pencen tetapi mereka diberi faedah seperti ganjaran perkhidmatan sekali gus caruman Lembaga Tabung ATM, simpanan Koperasi Tentera dan imbuhan lain yang sepatutnya diterima semasa berhenti.

Ketika ini dianggarkan terdapat lebih 300,000 veteran ATM dan daripada jumlah tersebut kira-kira 90,000 mendaftar bersama JHEV ATM.

Justeru, pihak JHEV ATM pada setiap masa giat merancakkan kempen pendaftaran ahli-ahlinya untuk memudahkan bantuan disalurkan.

Jadi, sebagai warga yang prihatin kita ada tanggungjawab untuk sama-sama membantu menjayakan kempen Tabung Pahlawan sebagai tanda hormat dan menghargai sumbangan bekas tentera.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu