Sumber rezeki terjejas

Iklan
Sisa getah dan sampah domestik dibuang di kawasan berhampiranJeti Sungai Kembong dipercayai menjadi punca pencemaran di perairan Selat Klang.

PULAU INDAH - Lebih 200 nelayan di Kampung Teluk Nipah dan Kampung Sungai Kembong, di sini mengeluh pendapatan mereka terjejas akibat pencemaran.

Mereka mendakwa, ratusan ikan dan udang ditemui mati akibat bahan kimia hasil buangan sisa getah dan sampah domestik di kawasan berhampiran mengalir ke perairan Selat Klang.

Iklan
Iklan

Nelayan, Mohd Azli Shamsuddin, 53, berkata, bangkai ikan dan udang timbul di permukaan air sejak empat hari lalu dipercayai akibat ‘mabuk’.

"Saya terkejut dan sedih bila lihat bangkai ikan dan udang ini timbul di kawasan jeti.

Iklan

"Sebelum ini ada juga berlaku tapi tak seteruk ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, pencemaran itu menyebabkan sumber pendapatannya terjejas.

Iklan

"Hasil tangkapan mula berkurangan. Kalau sebelum ini, sehari boleh dapat 10 hingga 15 kilogram ikan, tapi sekarang nak dapat dua hingga tiga kilogram pun susah.

"Sebelum ni mewah juga sebab sekali dapat hasil dalam RM400 hingga RM500. Sekarang nak dapat RM10 pun sakit,” katanya.

Menurut Mohd Azli, kawasan Selat Klang memang terkenal dengan pelbagai spesies ikan seperti bawal, gelama dan tirus.

Justeru, Mohd Azli berharap pihak berkaitan dapat memantau dan menyiasat faktor berlakunya kejadian berkenaan.

Kawasan jeti yang didakwa berlaku pencemaran akibat bahan kimia.

Dakwa punca bahan kimia

Bukan sahaja pelanggan gerai makan di kawasan itu mengadu bau busuk malah peniaga juga terpaksa menghadapi situasi sama.

Penduduk, Shahrom Rahmat, 48, berkata, bau bangkai ikan menyebabkan perniagaan kedai makan yang diusahakan berhampiran Jeti Teluk Nipah turut terjejas.

Katanya, dia menyedari kejadian itu selepas melihat bangkai ikan terdampar di tepi jeti selepas hanyut dibawa arus.

"Empat hari lepas memang banyak bangkai ikan ditemui di sini. Sebelum ini memang ada juga berlaku tapi tak seteruk kali ini. Ada juga rakan-rakan nelayan mengadu susah nak dapat hasil sekarang,” katanya.

Sementara itu, aktivis alam sekitar, Datuk Zainal Taha mendakwa, sisa buangan getah dan sampah domestik yang dibuang di kawasan berhampiran dipercayai menjadi punca pencemaran air di perairan Selat Klang.

"Sisa berkenaan dibuang berhampiran kawasan jeti dan bila air pasang, bahan kimia daripada buangan getah itu terus mengalir ke perairan Selat Klang dan menyebabkan pencemaran.

"Bila air tercemar, banyak ikan dan udang mati, sekali gus menyebabkan pendapatan nelayan terjejas,” katanya.

Menurutnya, pembuangan sampah itu berlaku sejak lebih sebulan lalu.

"Kita harap pihak berkenaan peka dengan masalah ini dan akan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, wakil Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor yang turun padang ke lokasi berkenaan berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung perkara itu.