KOTA BHARU - Menguruskan dua anak orang kurang upaya (OKU) tanpa bekalan air bersih bukan sesuatu yang mudah namun itulah yang terpaksa dilalui pasangan suami isteri di Kampung Tok Puchong, Kedai Buloh di sini.
Ismail Hamat, 67, dan isterinya, Minah Jusoh, 56, kini perlu menjaga dua anaknya Mohd Suhaimi, 31 dan Ahmad, 39, yang menghidap masalah mental dan tidak boleh bercakap sejak bayi.
Ismail berkata, betapa sukarnya apabila dia terpaksa membeli air bersih 30 liter sehari untuk kegunaan makan dan minum termasuk menguruskan anak-anak istimewanya.
Menurutnya, selain dia terdapat 30 keluarga di kampung itu berdepan dengan masalah air payau dan tidak sesuai digunakan untuk makan serta minum.
"Masalah ini berlarutan sejak berpuluh tahun kerana faktor muka bumi. Kami akur dengan keadaan ini, sebab itulah kami meminta kerajaan untuk berikan bekalan air bersih.
"Tambah-tambah lagi saya yang ada anak istimewa, kena sediakan air bersih untuk mandikan dia. Hari-hari kena beli air bersih di mesin air. Saya perlu beli air mineral di kedai untuk buatkan dia susu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.
Ismail berkata, kadang-kadang dia tidak mampu untuk membeli air dan terpaksa menyuruh cucunya, Siti Aisyah Zulkifli, 20, mengambil air dari rumah anaknya dengan menaiki basikal yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.
Katanya, dia kini mengambil upah RM50 seminggu menghantar anak penduduk ke sekolah menggunakan motosikal meskipun menghidap penyakit batuk kering bagi menampung perbelanjaan keluarganya.
"Memang kami sudah dapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan tetapi tidak cukup sebab hari-hari kena beli air bersih,” katanya.
Menurutnya, isterinya juga bekerja dengan mengambil upah menyiang ikan sebanyak RM10 sehari.
"Isteri saya juga tidak sihat kerana menghidap ketumbuhan di dalam hati tetapi dia tetap kerja bagi menampung keperluan keluarga kami," katanya.
Ismail bersama keluarga yang menumpang tinggal di tanah ihsan seorang individu itu juga mengharapkan ada pihak yang sudi menyediakan tempat tinggal lebih selesa kepada mereka sekeluarga.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Roslina Yacob, 38, berkata, dia perlu membeli 10 liter air bersih sehari yang digunakan secara jimat cermat.
"Saya tengok meter air di kawasan ini sudah dipasang, lega sedikit kami penduduk kampung. Cuma setakat ini air belum ada dan kami mengharapkan ia dipercepatkanlah,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha DUN Kijang, Mohamad Sulaiman memaklumkan masalah berkenaan sudah berada di peringkat akhir semakan bersama Air Kelantan Sdn Bhd dan akan selesai dalam masa terdekat.
Orang ramai yang membantu keluarga Ismail boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun CIMB atas nama Ismail Hamat (7633706677).