Kedah teruja berdepan Perak di Ipoh

Iklan
Antara aksi menarik pertemuan Kedah, Melaka United di Cheras. - Foto FB Melaka United Football Association

KEDAH bertekad memberi saingan sengit kepada Perak dalam pemburuan slot terakhir ke saingan Piala AFC tahun depan pada aksi terakhir CIMB Liga Super di Stadium Perak Sabtu ini.

Menurut pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak, biarpun mengakui The Bos Gaurus kendalian Mehmet Durakovic itu berada pada prestasi terbaik, namun beliau percaya anak-anak buahnya mampu membawa pulang keputusan positif ke Alor Setar.

Iklan
Iklan

"Ya, Perak pasukan yang mempunyai pemain berkualiti dan tidak mudah menyerah kalah seperti dipamerkan ketika bangkit dari ketinggalan tiga gol untuk mengikat Pahang di Kuantan minggu lalu.

"Biarpun begitu Insya-ALLAH, saya optimis Kedah mampu menyaingi Perak biarpun kami bertandang ke laman keramat mereka di Ipoh pada Sabtu ini dengan momentum positif dalam kalangan pemain.

Iklan

"Alhamdulillah, syukur kemenangan ke atas Melaka United pada malam ini juga secara tidak langsung membuktikan bahawa pemain-pemain Kedah sudah bersedia menyahut cabaran berdepan Perak.

"Apapun, buat masa ini kami akan kembali membuat persediaan lebih rapi dalam beberapa hari yang ada ini menjelang pertemuan menentang Perak," katanya.

Iklan

Kedah malam tadi kembali ke kedudukan kedua saingan liga selepas mengatasi Melaka United 1-0 pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras.

Jaringan Shakir Hamzah pada minit ke-19 sudah cukup membolehkan skuad Hijau Kuning membawa pulang tiga mata seterusnya merampas kedudukan dari Perak dengan 19 mata beza satu mata mengatasi skuad kendalian Mehmet Durakovic.

Pada masa sama, Aidil Sharin juga mengakui bangga dengan kesungguhan dan komitmen pemain Kedah terutamanya bahagian pertahanan dan tengah yang penuh berdisiplin pada perlawanan itu.

"Pada perlawanan ini juga pemain muda Kedah yang pertama kali diturunkan berjaya mengalas tanggungjawab dengan baik dalam mengekang asakan lawan.

"Kita tahu tekanan yang dihadapi pemain-pemain Kedah cukup tinggi apatah lagi apabila kita dapat lihat Melaka United mula meningkatkan asakan selepas kita mendahului mereka.

"Melaka United pun kita tahu memiliki barisan pemain berkualiti tentu sahaja tidak mahu menyerah kalah dalam perlawanan ini," katanya.

Ketika ditanya mengenai statusnya bersama Kedah pada musim depan, Aidil Sharin berkata, buat masa ini beliau mahu memberikan sepenuh fokus kepada baki aksi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini terlebih dahulu.

"Buat masa ini saya mahu memberikan sepenuh tumpuan kepada aksi menentang Perak, insya-ALLAH, sekiranya semuanya berjalan lancar mengapa tidak?, kerana Kedah sentiasa berada di dalam hati saya.

"Saya pun selesa dengan pemain, barisan kejurulatihan Kedah kerana mereka memberikan sepenuh kerjasama dan sokongan kepada saya selama ini," katanya.