BISHKEK - Para penunjuk perasaan menyerbu parlimen Kyrgyzstan semalam dan membebaskan bekas Presiden negara itu, Almazbek Atambayev yang dipenjarakan sebelum ini.
Insiden tunjuk perasaan itu pada awalnya diadakan bagi membantah pilihan raya parlimen yang dicemari dengan dakwaan pembelian undi sebelum bertukar menjadi ganas berikutan berlaku pertempuran dengan polis.
Penunjuk-penunjuk perasaan itu memenuhi jalan raya di ibu kota Bishkek dan pada waktu petang bagi menuntut peletakan jawatan Presiden Pro-Rusia, Sooronbay
Jeenbekov sekali gus menuntut pilihan raya yang berlangsung pada Ahad lalu diadakan semula.
Polis terpaksa menggunakan meriam air, pistol pegun dan gas pemedih mata untuk meleraikan para penunjuk perasaan yang cuba untuk menuju ke pintu bangunan yang
menempatkan parlimen bekas negara Kesatuan Soviet itu dan Pejabat Presiden.
Sejumlah kira-kira 2,000 orang kemudian berarak ke bangunan Jawatankuasa Keselamatan Kebangsaan yang mana Atambayev sedag dipenjarakan.
Atambayev sebelum ini dihukum penjara 11 tahun pada Jun lalu selepas didapati membebaskan seorang ketua penjenayah secara haram.
Adil Turdukuov yang merupakan seorang aktivis dan sekutu Atambayev yang menjadi saksi pembebasannya berkata, beliau dibebaskan tanpa penggunaan sebarang
kekerasan dan para pegawai keselamatan tidak cuba untuk menghalang tindakan penunjuk perasaan itu.
Imej di media sosial menunjukkan Atambayev, 64, menyambut ketibaan para penyokongnya itu dengan baik selepas beliau dibebaskan dari penjara.
Sebelum ini, beliau merupakan sekutu rapat Jeenbekov.
Namun, hubungan kedua-duanya musnah selepas Jeenbekov memenangi pilihan raya Presiden pada tahun 2017.
Pemimpin Rusia, Vladmir Putin cuba untuk menjadi orang tengah dalam perbalahan antara mereka pada tahun lalu tetapi ia tidak mampu untuk menghalang penangkapan Atambayev.
Keputusan awal pengiraan mendapati gabungan kedua-dua parti pro Presiden iaitu Birimdik dan Mekenim Kyrgyzstan memperoleh kira-kira separuh daripada undian
pilihan raya tersebut. - AFP