MELAKA - Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan enam sebatan terhadap seorang pesara tentera atas kesalahan merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap anak saudaranya enam tahun lalu.
Hakim, Norma Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 48 tahun selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Tertuduh didapati telah merogol anak saudaranya yang ketika kejadian berumur enam tahun di rumahnya kira-kira jam 2 petang di Taman Tanjung Minyak Utama, di sin, pada awal Disember 2013.
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Lelaki itu turut didapati dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa kira-kira jam 2.10 petang di tempat dan tarikh yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.
Mengikut fakta kes, tertuduh pertama kali didakwa pada 25 Mei 2015, selepas ibu bapa mangsa berjaya menghidu tindakan terkutuk itu dan membuat laporan polis selepas kanak-kanak itu tiba-tiba menjadi agresif.
Difahamkan, mangsa pernah menekup muka adik lelakinya menggunakan bantal dan menjelaskan perbuatan itu juga dilakukan tertuduh terhadapnya.
Timbalan Pendakwa Raya, Mazuin Hashim memohon hukuman berat diberikan dengan mengambil kira umur mangsa yang baharu berusia enam tahun ketika kejadian, selain hubungan mangsa iaitu anak saudara yang sepatutnya dilindungi.
Hujahnya lagi, mangsa yang kini berusia 13 tahun masih fobia dengan kejadian itu dan disahkan mengalami gangguan stres pasca trauma (PTSD).
Tertuduh diwakili peguam, N Gunalan merayu hukuman ringan dapat diberikan dengan alasan anak guamnya menghidap asma yang teruk dan menyara keluarga.
Mahkamah kemudian memutuskan hukuman penjara selama 13 tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan, namun mengarahkan kesemua hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.
Sepanjang prosiding berlangsung sejak 26 Mei 2015, seramai 18 saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan telah dikemukakan.