KOTA BHARU - Mana-mana penjawat awam yang berani melanggar undang-undang dengan melakukan kesalahan menggunakan atau memiliki kereta klon dari Singapura akan dikenakan tindakan tatatertib oleh jabatan masing-masing.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pihak JPJ akan melaporkan rekod kesalahan penjawat awam tersebut kepada pihak atasan di jabatan mereka supaya tindakan itu dapat dilaksanakan.
"Sekiranya mereka didapati bersalah di mahkamah, kita akan laporkan kepada jabatan mereka dan jabatan itu akan mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangan kerana kesalahan memandu atau memiliki kereta klon.
"Kami memandang serius isu ini dan tidak mahu sesiapa sahaja mahupun penjawat awam terbabit dengan kes kereta klon,” katanya kepada pemberita pada program Lelongan Awam Kenderaan Sita JPJ Kelantan Siri 1/2020 di Pejabat JPJ Kelantan Panji di sini hari ini.
Lelongan tersebut disertai 129 pembida berdaftar dan JPJ Kelantan memperoleh kutipan berjumlah RM837,000 daripada bidaan 47 kereta klon disita yang majoritinya terdiri daripada model Honda manakala model Subaru Impreze pula memperoleh bidaan tertinggi bernilai RM41,000.
Mengulas lanjut, Hanif Yusabra berkata, di Kelantan kereta klon model Honda antara yang paling popular dan menjadi kegilaan dalam kalangan kakitangan awam serta pengguna yang berusia antara 35 hingga 45 tahun berikutan tawaran harga serendah 50 peratus berbanding harga sebenar di pasaran Malaysia.
"Selain itu, kereta klon juga terdapat dalam pelbagai model iaitu Mercedes, BMW dan Toyota kebiasaannya dimiliki golongan belia bertujuan bergaya tanpa memikirkan tindakan melanggar undang-undang.
"Setakat ini, sebanyak 204 kenderaan klon disita oleh JPJ Kelantan dengan 21 kes diselesaikan di mahkamah membabitkan denda sebanyak RM379,300 sepanjang operasi bermula tahun 2011,” katanya.
Jelas beliau, modus operandi terkini perniagaan kereta klon dari negara jiran menerusi dalam talian di laman sosial juga dikesan semakin berleluasa.
"Akses penjualan kereta klon menjadi mudah apabila banyak pihak tidak bertanggungjawab dengan berani menyiarkan iklan secara terbuka.
"Urusan jual beli juga dilakukan dengan mudah menggunakan perhubungan melalui sistem aplikasi WhatsApp,” katanya.