MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka bercadang memperluaskan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) bagi meningkatkan keselamatan di sekolah-sekolah negeri ini.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, beliau akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri berhubung pemasangan CCTV seperti mana yang telah dipraktikkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Beruang yang mengambil inisiatif memasang 60 CCTV di seluruh kawasan sekolah.
Menurutnya, setiap sekolah memiliki kelebihan masing-masing dan perkongsian pintar seperti ini akan dapat memberikan suasana yang harmoni dan selamat dalam kalangan pelajar sekolah.
"Bagaimanapun perbincangan mengenai pemasangan berkenaan akan dilaksanakan setelah mendapatkan nilai keseluruhan terhadap usaha tersebut termasuk penambahbaikan yang perlu di setiap sekolah.
"Malah sekolah yang boleh dicontohi juga merupakan sekolah pertama di Melaka yang memasang CCTV terbanyak dan ia boleh dijadikan sebagai model sekolah contoh terhadap keberkesanan yang dilaksanakan pihak sekolah," katanya.
Adly berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina di SRJKC Bukit Beruang di sini, semalam.
Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Rashid Sidek dan Pengarah Urusan Double Decker (M) Berhad, Datuk Gary Choo Kok Sen.
Adly berkata, perlaksanaan program berkenaan mampu memberi pendedahan murid menghormati budaya yang mampu dapat menetapkan hubungan antara sesama lain selain dapat mengelak berlakunya gejala buli dan tidak sihat di sekolah.
"Murid antara golongan yang dapat merasakan nikmat perkataan seperti ini dan dengan sambutan ini ia dapat menjalinkan kerjasama yang perlu dijaga dalam tempoh panjang untuk kesejahteraan rakyat," katanya.
Dalam pada itu, kira-kira 100 murid sekolah berkenaan menerima angpau yang disampaikan oleh Adly.