PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan hanya mengambil masa 30 minit untuk mematahkan cubaan menyeludup 200 bungkusan rokok putih bernilai RM1.49 juta termasuk cukai di kawasan perairan Pantai Sabak, Kota Bharu semalam.
Rampasan itu dilakukan selepas agensi berkenaan berjaya menahan tiga bot berkuasa tinggi dan sebuah lori yang digunakan untuk membawa rokok-rokok seludup tersebut menerusi Op Damai pada jam 7.30 pagi.
Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, ketika sedang melakukan rondaan anggota APMM Kelantan telah bertembung dengan sebuah bot laju berkuasa tinggi kira-kira satu batu nautika dari muara Pantai Sabak.
"Pihak kami telah cuba menghampiri bot itu untuk melakukan tangkapan namun pemandunya telah bertindak memecut laju memasuki kawasan muara berkenaan," katanya kepada pemberita di Pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali di sini hari ini.
Menurutnya, APMM Kelantan turut menemui dua lagi bot laju sarat dengan muatan kotak rokok di tebing kawasan muara terbabit.
Katanya, sebuah lori yang sedang diisi dengan guni-guni yang disyaki rokok juga berjaya ditahan.
"Bagaimanapun beberapa orang suspek yang berada di lokasi kejadian termasuk jurumudi bot bertindak melarikan diri," katanya.
Muhd Nur Syam Asmawie berkata, pemeriksaan ke atas bot-bot dan lori membawa kepada penemuan kira-kira dua juta batang rokok seludup.
Beliau berkata, risikan awal mendapati kesemua rokok itu dibawa dari Thailand menggunakan jalan laut untuk pasaran tempatan.
Katanya, APMM Kelantan akan terus melakukan siasatan lanjut berkaitan dengan kes berkenaan.
"Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967. Pihak APMM Kelantan turut mengesan kewujudan tonto dalam kalangan nelayan tempatan yang memberi maklumat dan isyarat kepada penyeludup mengenai kehadiran anggota penguatkuasa," katanya.
Tambah beliau, APMM Kelantan akan terus berusaha memastikan perairan negeri bebas dari sebarang aktiviti jenayah termasuk pencerobohan nelayan asing.