Ziarah Cakna bawa guru ke rumah murid

Iklan
Zainal Abidin (dua, kiri) menyampaikan sumbangan kepada Mat Yunan ketika mengunjungi keluarga berkenaan sempena Program Ziarah Cakna PPD Jeli.

BATU MELINTANG - Program Ziarah Cakna yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan membawa guru-guru ke rumah murid sekali gus mengenali keluarga mereka dan melihat dengan lebih dekat kehidupan dijalani.

Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Jeli, Zainal Abidin Mat Yasin berkata, program Sifar Murid Tercicir yang dilaksanakan tahun lalu itu antara lain untuk mengatasi masalah keciciran dalam kalangan murid.

Iklan
Iklan

Menurutnya, program itu juga selaras dengan dasar pendidikan kebangsaan yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan secara holistik melalui kegembiraan, kasih sayang dan saling menghormati.

"Dalam masa sama ia turut memperluas konsep keluarga penyayang di mana guru akan menziarahi murid di rumah untuk menyantuni mereka dan keluarga sambil bertanya khabar,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Program Ziarah Cakna Peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli 2019 di sini.

Iklan

Hadir sama, Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Jeli, Abd Rahim Haron, guru besar dan pengetua sekolah di daerah ini.

Zainal Abidin berkata, program Ziarah Cakna juga dapat mengenal pasti murid yang tidak bernasib baik.

Iklan

"Secara tak langsung ia akan membantu pihak sekolah mengenal pasti bentuk bantuan sesuai untuk murid berkenaan bagi memastikan mereka tidak tercicir dan ketinggalan daripada mendapat kemudahan diperlukan,” katanya.

Tambahnya, selain mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan guru, program itu juga akan membantu meningkatkan kefahaman antara keduanya sekali gus membantu menjayakan proses kemenjadian murid.

Sementara itu, seorang bapa, Mat Yunan Ibrahim, 53, menyambut baik usaha dilakukan pihak sekolah dan berharap ia berterusan pada masa akan datang.

"Usaha yang baik, boleh eratkan hubungan antara ibu bapa dan guru,” katanya.

Mat Yunan merupakan bapa murid Program Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Kebangsaan Batu Melintang, Muhammad Daniael Hakimi, 11, yang dikunjungi rombongan Ziarah Cakna PPD Jeli.