SHAH ALAM - Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk mengehadkan majlis dan perhimpunan orang ramai bagi mengurangkan kebarangkalian jangkitan pandemik koronavirus (Covid-19).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia termasuk persidangan besar, kenduri kahwin serta majlis perhimpunan orang ramai.
"Bagaimanapun, kerajaan akan mendapatkan input daripada KKM (Kementerian Kesihatan) terlebih dahulu sebelum melaksanakannya termasuk cadangan mengadakan SOP tambahan jika perlu," katanya menerusi Perutusan Khas Situasi Semasa Covid-19 hari ini.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, beliau dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bahawa negara mempunyai ventilator, PPE, peralatan dan ubat-ubatan yang mencukupi.
Menurutnya, jumlah katil di hospital-hospital yang dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 juga mencukupi dengan kapasiti penggunaan pada masa ini sekitar 29 peratus.
"Ia bermakna sistem kesihatan di negara kita lebih bersedia pada masa ini untuk menangani penularan wabak Covid-19 dalam komuniti berbanding pada masa lalu.
"We are now better prepared than before in terms of experience and manpower.
"We know the behaviour of the virus better and we have enough facilities and equipments," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: PM jangka kes Covid-19 terus meningkat
Tegasnya, semua pihak perlu bersama dalam usaha memutuskan penularan Covid-19 dan cara terbaik adalah dengan kekal berada di rumah terutamanya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar dilaksanakan.
"Kita mesti landaikan semula lengkungan dan saya percaya kita boleh lakukannya kerana sebelum ini kita telah berjaya melakukannya," katanya.