APA yang dibimbangi telah pun terjadi. Apa yang ditakuti sudah pun berlaku.
Sebelum bermula kempen dan penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lagi, bukan sedikit pakar kesihatan yang menzahirkan kebimbangan.
Sinar Harian sendiri bertalu-talu menerusi pelbagai artikel analisis dan pendapat menulis mengenai bahaya PRN Sabah yang dibayangi peningkatan kes Covid-19.
Dan paling ditakuti tentang kemungkinan pemimpin dan jentera politik membawa balik virus daripada pelbagai kluster di Sabah ke Semenanjung dan Sarawak.
Namun, malangnya kita alpa dengan ‘kejayaan’ pusingan awal melawan Covid-19 antara Mac hingga Jun lalu.
Bayangkan betapa bersungguh dan ketatnya prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang kita laksanakan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu. Beribu-ribu orang telah didenda malah diheret ke mahkamah kerana melanggar SOP.
Namun, SOP itu akhirnya semakin lama semakin longgar dan diambil mudah.
Memang sesuatu yang menyedihkan apabila pihak berkuasa mengambil keputusan tidak mengenakan perintah kuarantin 14 hari wajib terhadap individu yang baru pulang dari Sabah.
Kononnya atas alasan perintah kuarantin 14 hari hanya dilaksanakan ke atas rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan bukannya dari negeri lain.
Malah, ‘lesen besar’ diberikan apabila ujian kali pertama negatif, individu berkenaan sudah boleh membuang ‘gelang pink’, sedangkan semua orang tahu tempoh dua minggu kuarantin dilaksanakan kerana inkubasi virus Covid-19 adalah selama 14 hari.
Contoh paling mudah dapat kita lihat dalam kes Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang hanya disahkan positif Covid-19 selepas 11 hari pulang dari Sabah.
Dalam tempoh itu sebagai seorang menteri yang padat dengan aktiviti beliau telah sekurang-kurangnya singgah di lima buah negeri, tiga buah universiti dan tiga buah masjid.
Semua itu mungkin tidak terjadi sekiranya kita tidak berkompromi dengan SOP Covid-19.