Covid 19: Nasi sudah jadi bubur

Iklan
Ancaman gelombang ketiga Covid-19 mampu memberi impak terburuk kepada Malaysia sekiranya tidak dibendung dengan segera.

KETIKA kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 bulan lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan khabar angin berkaitan keperluan kuarantin wajib kepada rakyat dari Sabah atau rakyat yang berkunjung ke negeri itu dan seterusnya pulang ke Semenanjung dan Sarawak.

Ismail Sabri kemudiannya menegaskan tiada keperluan kuarantin wajib selama 14 hari kepada mana-mana rakyat berkunjung ke Sabah dilaksanakan kerana perjalanan ke negeri itu dianggap rentas negeri dan bukan pulang dari luar negara.

Iklan
Iklan

"Mana-mana antara mereka, jika disahkan negatif selepas menjalani ujian saringan pertama, mereka boleh pergi ke klinik kesihatan kerajaan untuk memotong gelang pink (merah jambu). Mereka tidak perlu kuarantin,” katanya.

Namun, dua minggu selepas PRN Sabah berakhir, peningkatan penularan kes koronavirus (Covid-19) kini berada pada tahap yang amat membimbangkan.

Iklan

Semalam, Malaysia mencatatkan 691 kes baharu positif Covid-19, jumlah kes harian tertinggi pernah direkodkan sejak permulaan pandemik itu pada awal tahun ini.

Ini merupakan kali keempat rekod harian tertinggi jangkitan virus itu dicatatkan dalam tempoh lima hari selepas mencatatkan 432 kes kelmarin, 287 kes pada Jumaat lalu dan diikuti 317 kes pada Sabtu.

Iklan

Lebih malang, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjadi menteri pertama disahkan positif Covid-19 kelmarin selepas Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Ahmad Masrizal Mohamad mengakui beliau dijangkiti Covid-19.

Sebelum ini, beberapa pemimpin parti politik yang turut disahkan positif Covid-19 ialah Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Razlan Muhammad Rafii.

Selain itu, turut positif ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Amiruddin Yusof; Exco Pertanian, Industri dan Asas Tani negeri Kedah, Azman Nasaruddin; ADUN Kampung Tunku, Lim Yi Wei dan terbaharu ADUN Maharani, Nor Hayati Bachok.

Timbulkan kemarahan

Senario gelombang ketiga pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara pada ketika ini sememangnya menimbulkan kemarahan rakyat, dengan #KlusterMenteri kini mula ‘trending’ di laman Twitter selepas lebih 11,000 ciapan dikenal pasti mengandungi hashtag itu.Beberapa pakar kesihatan awam tempatan berpandangan faktor utama kewujudan gelombang ketiga Covid-19 disebabkan kegagalan pihak berkuasa menyemak semula SOP kuarantin wajib bagi setiap individu yang berkunjung ke negeri Sabah.

Bagi pakar kesihatan awam daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Rosliza Abdul Manaf, sepatutnya SOP pelaksanaan kuarantin wajib 14 hari tidak ditafsirkan hanya terpakai kepada mereka yang pulang dari luar negara, sebaliknya turut melibatkan negeri yang mencatatkan peningkatan kes Covid-19 mendadak.

"Di Sabah, penularan Covid-19 adalah terlalu tinggi dengan kes negeri itu sahaja sudah jauh lebih tinggi daripada jumlah keseluruhan kes di tempat-tempat lain di Malaysia.

"Kita tidak salahkan individu positif dan menyebabkan jangkitan kepada orang lain kerana mereka sebenarnya mematuhi apa diarahkan. Tetapi (pemimpin) pada peringkat lebih tinggi, mereka wajib laksanakan (SOP kuarantin wajib lebih ketat),” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Penjelasan Dr Rosliza ada asasnya, namun situasi terkini Covid-19 di negara ini boleh diibaratkan ‘nasi sudah jadi bubur’.

Lebih menyedihkan, sikap segelintir pemimpin dan ahli politik di negara ini yang gagal memupuk budaya kepimpinan melalui teladan mengeruhkan lagi kepercayaan rakyat terhadap kemampuan kerajaan untuk menangani gelombang terbaru pandemik itu.

"SOP mencegah Covid-19 dipraktikkan di Malaysia sebenarnya sudah cukup bagus. Sepatutnya pandemik itu dapat dibendung jika semua pihak mengikut SOP.

"Seruan ikut SOP Covid-19 pula bukan hanya perlu dituju kepada rakyat semata-mata, tetapi kepada juga pembuat dasar yang dilihat tidak mengikut SOP. Akhirnya rakyat akan rasa tawar hati kerana sepatutnya pemimpin menunjukkan kepimpinan melalui teladan,” kata Dr Rosliza lagi.

Seorang lagi pakar kesihatan awam daripada Hospital Kasih Cyberjaya, Dr Hanafiah Bashirun pula menyifatkan penemuan genom baharu virus mutasi Covid-19 yang dikesan melalui kes di Sabah adalah bersifat super spreader yang hampir sama dengan sifat genom Kluster Sivagangga.

Kuarantin wajib

Susulan virus mutasi terbaru itu lebih mudah berjangkit kepada orang lain, beliau memberi amaran impak gelombang ketiga Covid-19 yang dialami negara ketika ini mungkin lebih serius berbanding gelombang terdahulu.

"Sebagai langkah mengawal kerosakan yang sudah terjadi, saya menyarankan kerajaan mengembalikan arahan kuarantin selama 14 hari di premis khas sebagai SOP kuarantin wajib bagi mereka yang pulang dari zon merah,” katanya.

Selain itu, pelaksanaan penguatkuasaan SOP Covid-19 dengan lebih ketat tanpa perlu bersifat dwistandard juga perlu dilakukan segera pihak kerajaan bagi membendung penularan pandemik itu.

"Bila menteri kena Covid-19, kemungkinan besar mereka juga tidak penuhi SOP ditetapkan. Justeru, semua pihak kena tepuk dada, tanya selera,” ujar Dr Hanafiah.

Bagaimanapun, Dr Hanafiah tidak bersetuju dengan cadangan supaya kerajaan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana banyak aspek lain seperti masalah sosioekonomi yang perlu difikirkan kesan daripada keputusan itu kelak.

"Kita sudah buat kesilapan dengan tidak melaksanakan langkah pencegahan awal Covid-19 sewaktu PRN Sabah berlangsung.

"Kerajaan masih boleh mengawal kerosakan dengan langkah awal, misalnya Kementerian Pendidikan mempertimbangkan penutupan sementara sekolah sebagaimana institusi pengajian tinggi (IPT) ditangguhkan,” katanya.

Dr Lee Boon Chye

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH), Dr Lee Boon Chye berpendapat kerajaan kini berada dalam keadaan panik susulan kegagalan mereka membendung penularan berleluasa kes jangkitan dari Sabah.

Ahli Parlimen Gopeng itu turut mengambil contoh pendirian bercanggah kerajaan Perikatan Nasional (PN) terutama dalam memutuskan penangguhan kemasukan pelajar IPT oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

"Kita dapat lihat kenyataan sesama anggota Jemaah Menteri juga bercanggah dan tidak konsisten sejak kebelakangan ini. Menteri Kanan (Keselamatan) menegaskan keadaan Covid-19 terkawal dan tidak perlu PKP, tetapi Menteri KPT pula panik.

"Ditambah pula dengan kewujudan ‘Kluster Menteri’ dengan menteri Kabinet termasuk Perdana Menteri terpaksa dikuarantin 14 hari, jelas kerajaan dalam keadaan panik dan tiada hala tuju ketika ini,” katanya.

Bagaimanapun, Boon Chye mengingatkan kerajaan PN supaya kembali daripada ‘mimpi ngeri’ dan mengambil tindakan susulan segera dengan melaksanakan ujian saringan Covid-19 dengan lebih banyak dan lebih pantas, terutamanya di negeri Sabah.

"Selain itu, inisiatif memperketatkan SOP kuarantin perlu dilaksanakan tanpa ada dwistandard, inisiatif memperketatkan kawalan sempadan di Sabah, membangunkan pasukan kesihatan awam yang kuat dan berkongsi maklumat sebenar berkaitan Covid-19 kepada orang ramai tanpa ada usaha menyembunyikannya,” kata beliau.