Orang Korea dikatakan begitu berbangga membeli dan menggunakan barangan buatan negara mereka berbanding barangan import. Ia terbukti apabila hampir semua produk jualan mereka tertera ‘Made in Korea’.
Di jalan raya, 90 peratus rakyatnya menggunakan kereta buatan Korea. Ternyata semangat patriotik mereka sangat kuat dan sangat bangga untuk menggunakan produk tempatan.
Adakah orang Malaysia berbangga dengan produk ‘Made in Malaysia’? Selain Proton dan Perodua, apakah jenama buatan Malaysia yang menjadi sebutan?
Kita patut berbangga dengan kualiti produk barangan Malaysia. Tiada istilah low class atau produk ‘orang kampung’! Produk yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia telah memperlihatkan kejayaan besar dengan hasil jualan mencecah angka jutaan sekaligus membuktikan ia berkualiti.
Mungkin ramai juga tidak tahu banyak produk Malaysia setanding jenama luar negara. Malah jenama kita sudah sampai ke peringkat antarabangsa dan popular. Mungkin sesetengah namanya tidak membawa imej tempatan, maka ia dianggap jenama antarabangsa.
Apapun jenamanya, berbanggalah setiap kali anda membeli barangan Malaysia. Barang baik barang kita!
Bonia (Sembonia dan Carlo Rino)
Bonia merupakan syarikat peruncit fesyen berkualiti yang berpangkalan di Malaysia
yang mempunyai lebih daripada 700 cawangan jualan dan 70 butik di seluruh Asia. Ia memasarkan kasut, barangan kulit dan aksesori. Ia juga terlibat dalam aktiviti pengeluaran. Bonia Corporation Berhad ditubuhkan pada tahun 1974 oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan S.S. Chiang.
The Manhattan Fish Market
Keenakan menu di The Manhattan Fish Market memang ada kelas tersendiri. The Manhattan Fish Market diasaskan oleh George Ang dan Dr Jeffrey Goh, dua sahabat yang berbangga dengan identiti mereka sebagai rakyat Malaysia. Mereka mendapat cetusan idea daripada restoran Fulton Fish Market berusia 180 tahun di Brooklyn. Rangkaian restoran makanan laut ini berjaya berkembang di Asia dan Timur dengan jumlah restoran sebanyak 67 buah.
Siti Khadijah
Siti Khadijah (SK) berjaya menembusi pasaran Indonesia dengan penghasilan telekung yang cantik dan berkualiti. Hasil kerja keras sejak 2009, pemilik dan pengasas Butik Siti Khadijah Apparel Sdn. Bhd, Pazdilah Enda Sulaiman berjaya meletakkan koleksi telekung setanding dengan busana Muslimah lain dengan mengutamakan kualiti dan keselesaan. SK telah didaftarkan di bawah reka bentuk industri Perbadanan Harta Intelek Malaysia (myIPO).
San Francisco Coffee
Kopi adalah minuman kegemaran ramai. Dari kedai mamak hinggalah ke restoran atau kafe lima bintang, kopi menjadi menu pilihan. Rangkaian kafe ini dimiliki oleh Lyndarahim Ventures Sdn. Bhd. dan mempunyai sebanyak 33 outlet di sekitar Lembah Klang. Ia bermula apabila seorang rakyat Amerika Syarikat yang berkelana di bumi Malaysia mengasaskan jenama ini pada tahun 1997. Nama San Francisco dipilih sebagai mengingati kampung halamannya.
Faiza
Syarikat Faiza telah ditubuhkan pada 1982 sempena nama pemilik syarikat iaitu Faiza Bawumi Sayed Ahmad. Pada awal tahun 90-an, Faiza memperkenalkan jenis kategori beras berkualiti dari Kartanaka, India iaitu ‘Ponni’ khusus untuk penghidap diabetes, obesiti dan darah tinggi. Faiza juga meneroka produk lain seperti tepung, rempah ratus, bihun, sos cili dan kicap.
Gardenia
Sejarah awal Gardenia bermula pada tahun 1969 di Sabah. Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. pertama kali membuat pengadunan roti pada tahun 1986 dan mula popular di Semenanjung Malaysia. Gabungan hebat Horatio Sye SlocumKini, Wong Tze Fatt dan Jim Humphries sebagai pengasas utama jenama telah mempopularkan Gardenia. Gardenia merupakan syarikat bersekutu Padiberas Nasional Berhad dan dimiliki sepenuhnya oleh Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary.
British India
Jenama yang popular dengan logo gajah ini diasaskan pada tahun 1994 oleh Pat Liew, seorang veteran dalam industri peruncitan yang berpengalaman lebih 35 tahun termasuk dalam arena fesyen. Beliau kini merupakan CEO syarikat tersebut, dan menjadi peneraju kreatif serta penggerak utama syarikatnya itu. British India menjadi jenama eksklusif dengan lebih 40 outlet di beberapa negara termasuk Singapura, Thailand dan juga Filipina.
Ayamas
Ayamas adalah jenama francais makanan yang terdiri daripada makanan sejuk beku seperti bebola daging, sosej, nuget, burger, spageti, bahagian ayam dan lain-lain. Ayamas adalah jenama yang diusahakan oleh Syarikat Johor Corporation (JCorp) yang berpangkalan di Johor Bharu.
Marrybrown
Bermula di sebuah kedai kecil di Wong Ah Fook Street, Johor Bahru pada 1981, Marrybrown diasaskan oleh pasangan Datuk Lawrence Liew dan Datin Nancy Liew. Pasangan itu mencipta idea berdasarkan cita rasa Malaysia dan menghidupkan rantaian makanan cepat saji pertama di Malaysia yang majoritinya Muslim dengan mengambil kira konsep makanan halal Barat.
Padini
Padini mula beroperasi sebagai Hwayo Garments Manufacturers Company pada tahun 1971, menghasilkan pakaian dan menjualnya secara borong. Terdapat beberapa jenama lain yang bernaung di bawah Padini iaitu Vincci, MIKI, SEED dan beberapa lagi. Selain Malaysia, Padini turut mengeksport produk mereka ke pasaran luar negara seperti Thailand dan Timur Tengah.
#barangbaikbarangkita
#Kempenbelibaranganmalaysia