Bomba Terengganu pergiat sanitasi di kawasan berisiko

Iklan
Anggota bomba melakukan persiapan untuk membuat sanitasi di bangunan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu di Kuala Terengganu semalam

KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mempergiatkan sanitasi awam sejak awal bulan ini susulan peningkatan kes koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Pengarahnya, Penolong Pesuruhjaya Bomba Md Hilman Abd Rashid berkata, dalam tempoh lima hari, pihaknya sudah melakukan 14 sanitasi awam untuk membersihkan kawasan berisiko penularan Covid-19.

Iklan
Iklan

"Setakat ini sebanyak lapan sanitasi telah dilakukan di daerah Kuala Nerus dengan tiga buah sekolah ditutup manakala masing-masing dua sanitasi di Besut dan Dungun serta satu proses sanitasi dilakukan di Kuala Terengganu dan di Kemaman.

"Proses sanitasi ini kita akan ulang dan terus pantau, terutama di kawasan yang berisiko dalam tempoh 14 hari sebagai usaha mencegah penyebaran Covid-19," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Md Hilman Abd Rashid

Iklan

Menurutnya, sejak Mac lalu sebanyak 1,044 sanitasi dilakukan meliputi kawasan sekolah, pusat kuarantin, tadika, pasar raya, pasar awam dan kawasan atau bangunan yang dikenal pasti mempunyai jangkitan.

"Kita percaya proses sanitasi akan meningkat sepanjang Oktober ini membabitkan beberapa premis di negeri ini susulan peningkatan kes Covid-19," katanya.

Iklan

Sementara itu, Md Hilman berkata, setakat ini tiada pegawai atau anggotanya yang disahkan positif Covid-19 disebabkan berada di lokasi yang berisiko.

"Setiap pegawai dan anggota sentiasa diingatkan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang menjalankan proses berkenaan bagi mengelak dijangkiti wabak itu," katanya.