'Tolong patuhi SOP, elak dikenakan PKP semula'

Iklan
Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris

SHAH ALAM – Medical Mythbusters Malaysia (M3) menyambut baik keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara seperti sebelum ini, sebaliknya menggunakan kaedah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar.

Presidennya, Dr Ahmad Firdaus Mohd Haris berkata, keputusan itu mungkin dibuat selepas kerajaan mempertimbangkan dari semula sudut termasuk ekonomi dan sosial penduduk di negara ini.

Iklan
Iklan

"Perutusan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tadi (semalam) mungkin bukan seperti apa yang ditunggu-tunggu orang ramai. Namun, kita mungkin sedikit lega kerana PKP tidak akan dilaksanakan semula walaupun berlaku peningkatan kes di kawasan-kawasan tertentu.

"Dengan cara itu (PKPD secara bersasar), aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan lain yang tidak terjejas boleh diteruskan dengan amalan prosedur operasi standard (SOP) ketat serta penguatkuasaan undang-undang tegas.

Iklan

"Jadi tolong patuhi SOP yang KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) tetapkan. Dengan cara itu (patuhi SOP), kita dapat mengekang penularan Covid-19. Mungkin ada betulnya cakap Perdana Menteri, perlu rotan orang-orang yang tak dengar cakap,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar Harian ke-199 bertajuk PKP 2.0: Bersediakah Kita? yang diadakan secara atas talian malam tadi.

Iklan

Selain beliau, turut diundang menjadi panelis ialah pakar ekonomi, Profesor Dr Jomo Kwame Sundaram manakala Ahmad Fahmi Mohd Samsudin sebagai moderator.

Dalam pada itu, Ahmad Firdaus turut menyelar tindakan masyarakat termasuk ahli politik yang bersikap sambil lewa tentang garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KKM bagi mengekang penularan Covid-19 di negara ini.

Tegasnya, disebabkan sikap degil golongan itu, ia boleh menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di Malaysia.

"Kita kecewa apabila perkara yang diulang banyak kali itu tidak diambil peduli, ada yang bersesak di pusat membeli-belah tanpa memakai pelitup muka.

"Malah, ada segelintir yang mengambil mudah tentang aplikasi MySejahtera yang sedangkan ia penting untuk mengesan individu berisiko dijangkiti Covid-19," katanya.

Kata beliau, semua pihak perlu menganggap diri sendiri sebagai petugas barisan hadapan dan membudayakan amalan norma baharu dalam usaha memerangi penularan Covid-19.

"Paling penting tidak kira sama ada ahli politik ke menteri ke, semua pihak perlu mengamalkan normal baharu, penjarakkan sosial dan pakai pelitup muka sangat penting bagi memutuskan rangkaian penularan wabak ini," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Firdaus berkata, M3 menawarkan alternatif kepada orang awam dalam memberikan maklumat yang tepat dan benar daripada mereka yang ahli dan bertauliah dalam bidang masing-masing.

Katanya, situasi bertambah teruk apabila terlalu ramai rakyat Malaysia mempercayai mitos atau fakta palsu berkitan Covid-19.

"Dulu ada yang kata, Covid-19 boleh dirawat dengan minum air penawar yang dibaca dengan ayat-ayat al-Quran. Perkara seperti itu sangat mudah tersebar terutama di laman sosial seperti WhatsApp dan Facebook.

"Penerima berita palsu itu pula bukan ahli sains atau ada kefahaman kesihatan. Jadi apa-apa sahaja berita kononnya berkaitan kesihatan orang akan menganggap benar.

"Jadi itu cabaran kami untuk menjelaskan perkara berdasarkan fakta dengan cara lebih mudah berbentuk ‘story telling’. Kita ada pakar dalam bidang masing-masing dan mereka akan kongsikan seberapa banyak info tepat berkaitan Covid-19 kepada masyarakat umum melalui Twitter dan Facebook seperti Public Health,” katanya.