BISHKEK - Perdana Menteri Kyrgyzstan dan Speaker Parlimen pada Selasa meletakkan jawatan berikutan tunjuk perasaan besar-besaran yang membantah keputusan Pilihan Raya Parlimen 4 Oktober lalu, lapor Agensi Anadolu.
Speaker Parlimen, Dastan Jumabekov dan Perdana Menteri, Kubatbek Boronov menyerahkan surat peletakan jawatan mereka dalam mesyuarat yang dihadiri anggota parlimen di Bishkek.
Iklan
Iklan
Anggota Parlimen bersetuju melantik Sadyr Zhaparov sebagai Perdana Menteri sementara dan Miktibek Abdildayev sebagai Speaker.
Kyrgyzstan dicengkam demonstrasi besar-besaran menyaksikan ribuan penunjuk perasaan berkumpul di Bishkek menuntut pilihan raya baharu diadakan.
Pada Isnin penunjuk perasaan bertempur dengan polis dan menyerbu bangunan parlimen serta bangunan kerajaan yang lain.
Sekurang-kurangnya seorang terbunuh dan hampir 600 lagi cedera.
Terdahulu pada Selasa, Suruhanjaya Pilihan Raya Kyrgyzstan berkata, keputusan pilihan raya tidak sah, sejurus selepas Presiden Sooronbay Jeenbekov meminta semua bertenang dan mendesak parti politik memikirkan nasib negara mengatasi cita-cita politik mereka. - Bernama