SHAH ALAM - Pejabat Mufti Sabah memutuskan bahawa kesemua masjid dan surau yang berada dalam zon merah di negeri itu ditutup berkuat kuasa hari ini sehingga 16 Oktober ini berikutan perintah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Mufti Sabah, Datuk Bungsu@Aziz Jaafar berkata, semua aktiviti dan program di masjid atau surau juga ditangguhkan, malah solat berjemaah tidak dibenarkan kecuali untuk melaungkan azan pada lima waktu.
"Solat Jumaat juga tidak dibenarkan diadakan pada 9 Oktober sehingga 16 Oktober ini. Ahli kariah wajib melaksanakan fardu Zuhur di kediaman masing-masing pada masa solat Jumaat tersebut.
"Tempoh pelanjutan dan sebaliknya akan mengambil kira nasihat kerajaan negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Bungsu yang juga Pengerusi Majlis Fatwa Sabah berkata, kesemua masjid dan surau yang berada dalam zon kuning dan hijau dibenarkan melaksanakan solat Jumaat dan solat lima waktu secara bersyarat.
Katanya, bilangan ahli jemaah solat Jumaat yang dibenarkan adalah 40 orang dan jemaah solat lima waktu adalah 12 orang termasuk ahli jawatankuasa, khatib dan imam.
"Saya mengharapkan umat Islam khususnya yang berada di bawah PKPB terus istiqamah dalam melakukan ketaatan kepada ALLAH SWT.
"Semoga amal ibadah yang kita laksanakan dan doa yang kita panjatkan akan menjadi asbab terangkatnya wabak Covid-19 dan segala macam penyakit di negeri dan negara ini khususnya dan di seluruh dunia amnya," katanya.