SHAH ALAM – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui terkesan dan meluahkan rasa sedih dengan berita seorang bayi yang meninggal dunia semalam akibat jangkitan pandemik koronavirus (Covid-19).
Anwar turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa wabak berkenaan.
"Ini sangat menyayat hati tatkala keluarga tidak dapat menatap dan mengucup untuk kali terakhir.
"Takziah saya kepada keluarga semua mangsa korban Covid-19. Saya berharap kita akan terus kuat semangat dan bersatu melawan wabak ini,” katanya menerusi entri di Facebook beliau di sini hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu turut memuat naik berita mengenai seorang bayi perempuan berusia setahun antara empat yang terkorban akibat pandemik Covid-19 di Malaysia.
Justeru, Anwar menggesa semua pihak meningkatkan kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang wabak Covid-9 di negara ini.
Katanya, ia kerana situasi semasa pandemik Covid-19 ternyata membimbangkan.
"Saya amat berharap dan menggesa semua rakyat Malaysia untuk bersatu dan tingkatkan disiplin serta amalan kebersihan.
"Beri dokongan kepada barisan hadapan dengan mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan sedari awal. Itu sahaja jalan dalam usaha menumpaskan wabak tersebut,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bayi usia setahun antara korban Covid-19
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bayi tersebut yang merupakan kes ke-12,432 dibawa untuk mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Semporna pada 1 Oktober lalu.
Katanya, keputusan saringan terhadap bayi berkenaan didapati positif Covid-19.