IPOH - Kerajaan negeri berusaha mencari kaedah terbaik bagi membantu seorang pesara guru untuk menjalani kehidupan lebih sihat dengan tidak meneruskan lagi hobinya mengutip sampah di Taman Bersatu, Simpang Pulai di sini.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, pihaknya akan berbincang bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi membantu membersihkan persekitaran rumah serta mengadakan sesi kaunseling kepada wanita berusia 63 tahun itu.
"Beberapa langkah boleh diambil antaranya bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan negeri bagi menilai tahap kesihatan cikgu berkenaan serta sesi kaunseling kerana sudah sampai masanya dia berhenti kutip sampah-sampah ini.
"MBI juga akan melakukan pembersihan secara berkala dan longgokan sampah perlu diselesaikan. Kita beri masa untuk dia lakukan pengasingan sampah untuk dikitar semula dan selebihnya perlu dilupuskan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat rumah Chung Sook Khuan di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN Lebih 10 tahun 'cikgu' hidup dalam sampah
MBI ambil tindakan terhadap 'cikgu' tinggal dalam sampah
Menurutnya, agensi terlibat akan berusaha mengesan ahli keluarga terutama anak-anaknya agar dapat membantu warga emas terbabit menjalani kehidupan yang lebih sihat.
"Kita dalam perancangan untuk mengesan dan berjumpa dengan ahli keluarga serta anak-anaknya yang difahamkan tinggal di Ipoh dan Kuala Lumpur.
"Dalam keadaan semasa dengan peningkatan kes koronavirus (Covid-19) adalah tidak sesuai bagi cikgu merayau-rayau untuk mencari sampah selain bimbang akan tahap kesihatan dia dan komuniti kesan daripada aktiviti itu,” katanya.
Katanya, pihaknya akan berusaha menyediakan persekitaran bersih kepada kediaman cikgu itu selepas selesai jalani sesi kaunseling.
Semalam, Sinar Harian melaporkan keadaan sebuah rumah yang dilihat seperti tapak pelupusan sampah, apabila dipenuhi dengan timbunan plastik, kotak, tin kosong dan sisa makanan hasil kutipan setiap hari oleh wanita yang dikenali dengan panggilan cikgu sejak beberapa tahun lalu.