Tak perlu bawa lambang parti ke Himpunan ICERD

Iklan
Asyraf Wajdi berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR - Pemuda Umno mahu semua pihak melupakan seketika perbezaan politik dalam himpunan menentang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), 8 Disember ini.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, mereka yang menyertai himpunan itu disarankan tidak perlu membawa sebarang lambang atau bendera parti politik.

"Kita sokong himpunan ini sebagai satu himpunan aman. Sebab itu kita syorkan semua berpakaian putih kerana ia melambangkan kecintaan kepada suasana aman dan harmoni negara yang telah dicapai selama ini.

"Kita turun berpakaian putih, bawa bendera Malaysia kerana kerana kita mewakili rakyat Malaysia. Tak perlu bawa lambang atau bendera parti," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno, di sini, hari ini.

Katanya, Pemuda Umno juga akan menggerakkan Briged Kesatria Muda pada himpunan tersebut bagi menghalang sebarang provokasi.

"Unsur provokatif, menghina agama dan bangsa sudah tentu tidak wajar terlibat dalam himpunan ini. Untuk itu, Pemuda Umno wujudkan Briged Kesatria Muda bersama-sama dengan Jabatan Amal Pas bagi memastikan keamanan dan keselamatan peserta himpunan.

"Jika ada unsur provokatif atau sebarang senjata dibawa, kami akan serahkan kepada polis. Itu komitmen Pemuda Umno untuk memastikan rakyat boleh berhimpun dengan aman dan harmoni," katanya.

Dalam pada itu, katanya, Pemuda Umno juga setuju untuk melanjutkan kerjasama dengan Pemuda Pas dalam isu melibatkan kepentingan rakyat.

"Kerjasama ini ke arah usaha kita menjadi pembangkang efektif. Kita akan lihat isu melibatkan masa depan dan sara hidup rakyat yang kini semakin tertekan dengan kerajaan PH.

"Malah, kerjasama ini adalah lanjutan kejayaan himpunan menentang ICERD anjuran Pemuda Umno dan Pas pada 4 November lalu. Ia terbukti berkesan sehingga kerajaan akur kepada gerakan rakyat," katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Himpunan diteruskan, kerajaan gagal tunjuk kesungguhan ]