JASIN - Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah van kilang di Kilometer 1, Jalan Selandar-Batang Melaka pagi tadi.
Dalam kejadian jam 8.10 pagi, P Selvam, 19, yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC 135 dari Jalan Kuala Sungga, Kampung Batang Melaka maut akibat tersepit di bawah van berkenaan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, kemalangan itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Batang Melaka menghala ke arah Selandar manakala van yang membawa lima orang penumpang dari arah bertentangan.
Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa secara tiba-tiba hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan van kilang.
"Akibat pertembungan itu, mangsa tersepit di bawah van dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian bagaimanapun pemandu dan penumpang van tidak mengalami kecederaan," katanya dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Azman Md Dawam berkata, setiba di lokasi kejadian pihaknya mendapati terdapat seorang lelaki tersepit di bawah sebuah van kilang dan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.