JOHOR BAHRU - Polis Johor membuka kertas siasatan berhubung kain rentang berunsur provokasi yang dipasang di atas jejantas sekitar Johor Bahru yang tular di media sosial hari ini.
Kain rentang itu disifatkan menghina Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan mengaitkan istilah 'Abah' dan 'rotan'.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kain rentang itu.
"Kita akan siasat dan telah membuka kertas siasatan mengenai perkara ini," katanya dengan ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 7.30 petang hari ini, berhubung kain rentang dengan perkataan mengaibkan dengan niat memecahkan keamanan negeri Johor.
Semakan mendapati, tiga kain rentang itu digantung di tiga lokasi berbeza iaitu di jejantas Danga Bay, jejantas Sungai Chat dan jejantas depan Crystal Crown.
Kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.