TIDAK sampai dua minggu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah melabuhkan tirai, tumpuan negara kembali terarah kepada peningkatan kes pandemik koronavirus (Covid-19) secara mendadak terutamanya di Negeri Di Bawah Bayu itu.
Bagaimanapun, enam hari kemudian negara dikejutkan pula dengan berita kematian penyandang kerusi Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong.
Susulan kematian mendiang, mengikut Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh sesuatu kerusi itu dikosongkan.
Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mengumumkan tindakan lanjut berhubung arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen Batu Sapi minggu depan.
Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, tindakan seterusnya akan diambil SPR selepas beliau selesai menjalani kuarantin selama dua minggu dan mesyuarat itu akan diadakan pada minggu depan.
Kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini mengakui kempen PRN Sabah menjadi antara punca peningkatan kes Covid-19 semasa berucap pada perutusan khas yang disiarkan kelmarin.
Oleh yang demikian, ada pihak yang mencadangkan SPR tidak mengadakan PRK dalam waktu terdekat ini.
Pemuda UMNO melalui kenyataan Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki tampil mengesyorkan kepada semua parti politik termasuk Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mengekalkan status quo kedudukan Parlimen Batu Sapi di bawah Parti Warisan.
Tambah Asyraf, Pemuda UMNO percaya sudah tiba masanya untuk ahli politik melangkaui sempadan parti dapat bersolidariti dan menzahirkan jiwa besar mengetepikan perbezaan dan persengketaan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Mungkin sesetengah pihak akan melihat syor itu sebagai populis ataupun ‘tidak berani’ tetapi jika dilihat dari sudut yang positif, itu sebenarnya adalah satu sifat yang budiman dan tidak mementingkan diri. Jadi, apa pilihan parti politik lain?