Ketepikan perbezaan politik dalam pentadbiran negara - Asyraf Wajdi

Iklan
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

SHAH ALAM - Kerajaan perlu bersikap terbuka dengan mengetepikan perbezaan parti politik dalam urusan pentadbiran negara khususnya ketika menangani wabak Covid-19 yang kini semakin membimbangkan.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupun ada negeri-negeri ditadbir pembangkang, hubungan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu berlangsung dengan baik sebagai menghormati mandat rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pentadbir negara perlu meletakkan kepentingan sebagai negarawan berbanding parti politik semata-mata dengan tidak mengetepikan kerajaan pembangkang dalam hal usaha menangani wabak Covid-19.

"Saya mempunyai pandangan berbeza kerana dalam konteks ini kita perlu mengetepikan perbezaan parti. Apabila kita sudah menjadi kerajaan kita harus menyantuni negeri-negeri yang walaupun tidak bawah parti kita sebagai kerajaan.

Iklan

"Hubungan kerajaan (persekutuan) dengan kerajaan (pembangkang) mesti berlaku dengan baik. Dalam hal-hal melibatkan kepentingan nasional, umum dan rakyat, inilah contoh harus letakkan kepentingan parti politik ketepi apatah lagi untuk tangani Covid-19,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Sinar Live bertajuk ‘Covid-19: YB masih berpolitik?’ yang disiarkan secara langsung di Studio F, Kumpulan Media Karangkraf di sini.

Iklan

Hujah tersebut bagi menjawab isu berhubung kegagalan kerajaan melibatkan negeri-negeri pembangkang ketika mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, masyarakat dan pemimpin politik perlu berhenti menuding jari ketika negara berdepan gelombang baharu kes wabak Covid-19.

Katanya, gencatan politik wajar dilakukan seketika dengan sama-sama bersolidariti melangkaui kepentingan parti masing-masing.

"Jika kita berpolitik untuk kemegahan diri, ia tak bawa makna. Berpolitik untuk kuasa dan niat menolong rakyat.

"Kalau niat kita ikhlas untuk tolong rakyat maka kita kena bersedia untuk berubah. Harus melihat pandangan begitu besar. Buat seketika letakkan perbezaan politik di tepi, kita fokus bagaimana nak turunkan balik kes Covid-19 sekarang ini," katanya.