KUANTAN - Tersentuh hatinya apabila melihat kaki anak berusia tiga tahun di potong akibat gejala kehitaman atau gangren sejak Ogos lalu.
Kaasnida Mohamed Nazar, 32, juga menangis apabila mengetahui hanya kaedah itu sahaja boleh menghalang jangkitan kuman dan menyelamatkan nyawa Muhamad Ziyad Amzar Muhamad Razif.
Menurutnya, walaupun keputusan itu berat namun dia reda kerana menganggap ALLAH menguji dirinya dengan tahap kesihatan anaknya itu.
"Saya hampir pengsan apabila doktor pakar Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh memaklumkan enam jari tangan dan kaki Muhamad Ziyad Amzar terpaksa dipotong bagi menyelamatkan nyawanya dan menghalang kuman merebak ke bahagian anggota badan lain.
"Pada masa itu, saya hanya mampu menangis dan merayu pada doktor supaya kedua kaki Muhamad Ziyad Amzar dipotong di bawah lutut bagi memberi peluang anak saya memakai kaki palsu dengan selesa," katanya ketika dihubungi hari ini.
Kaasnida berkata, suaminya Muhamad Razif Razali, 38, juga tidak mampu menahan air mata melihat keadaan anak mereka yang terpaksa menanggung derita menghidap penyakit gangren.
Dia yang menetap bersama keluarga mertuanya di Felda Mempaga Tiga, Bentong, memberitahu, mereka tidak mengetahui punca penyakit itu tetapi Muhamad Ziyad Amzar mengalami demam dan terdapat bintik-bintik merah di kedua belah kakinya.
"Pada waktu itu, Muhamad Ziyad Amzar sangat lemah dan selepas itu jari tangannya mula bertukar hitam dan tidak boleh digerakkan sehingga doktor membuat keputusan memotongnya," katanya.
Tambahnya, selama sebulan Muhamad Ziyad Amsar dirawat di unit Rawatan Rapi (ICU) HoSHAS dalam keadaan lemah dan setiap hari menangis menahan kesakitan.
"Dalam tempuh 14 bulan anak saya menjalani empat kali pembedahan dan terbaru bulan lalu pembedahan memotong tulang bahagian tangannya yang memanjang dan selepas ini mungkin ada lagi pembedahan akan dilakukan.
"Muhamad Ziyad Amzar perlu menjalani latihan fisioterapi di Hospital Rehabilitasi Cheras, Selangor dari masa ke masa bagi membiasakan dia berjalan menggunakan kaki palsu dan jarinya yang tidak sempurna," katanya.